
Ini kali pertama saya menulis tentang perbincangan politik di blog. Secara jujurnya saya pasti penulisan tentang pandangan saya terhadap politik mungkin akan hadir dengan penerimaan yang pelbagai dan saya harus menerimanya sebaik mungkin pada setiap perkataan yang anda baca.
Apabila berlangsungnya Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini kita dapat melihat dengan jelas tentang berlakunya satu fenomena baru dalam era PRN Sarawak. Jika dahulu dengan mudah Barisan Nasional mendapat undi majoriti setiap lapisan penduduk Sarawak, kini tidak lagi. Ia satu fenomena sihat dalam politik yang menunjukkan kematangan rakyat Sarawak dalam menerima pemimpin dan kerajaan yang benar-benar berkualiti.
Walaupun Barisan Nasional memenangi 55 kerusi yang dipertandingkan namun ia bukanlah sesuatu yang menggambarkan kemenangan yang diraih adalah kemenangan yang sebenar kerana undi popular BN telah jatuh merosot ke tahap yang tidak membanggakan. Kehadiran 12 kerusi DAP, 3 Kerusi PKR dan 1 Kerusi Bebas menunjukkan satu keputusan terbaik dalam era parti pembangkang di Sarawak. Rakyat mula menerima dengan baik kehadiran mereka di Bumi Kenyalang dan ini bermakna rakyat mahukan kepimpinan kerajaan yang lebih adil dan bersih.
CABARAN BESAR BUAT BARISAN NASIONAL
Calon-calon BN yang menang kali ini sudah tidak boleh bersenang lenang dengan status YB mereka. Mereka harus bekerja dengan lebih keras dan 100% bakti untuk rakyat jika mereka mahu selesa selama penggal mereka memerintah. Tiada cara lain. Ini cabaran besar buat mereka. Rakyat bukan lagi botol kosong yang boleh dibuang merata-merata, mereka memerlukan lebih perhatian dan sokongan kebajikan setiap YB yang mereka pilih. Bukannya seorang YB yang selesa di kerusi empuk dan bersenang lenang menaiki kereta mewah.
Kali ini mereka berhadapan dengan rakyat yang sudah celik mata dan tahu apa yang mereka mahukan daripada YB yang mereka pilih semasa pilihanraya. Jangan main-main YB BN semua!
Anda berhadapan cabaran besar untuk memenangi hati rakyat!
Tahniah dan takziah!
CALON-CALON DAP, PKR, BEBAS.
Sama juga seperti BN, mereka juga harus memberikan perkhidmatan yang terbaik buat rakyat. Saya gusar untuk menyebut isu sensitiviti kaum apabila bercakap soal politik di Malaysia, namun ia sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia. Saya berdoa agar Malaysia kekal aman dan harmoni!
Apabila bercakap tentang DAP, saya melihat kebanyakan pemimpin-pemimpin DAP mempunyai satu sikap yang cukup berani dalam melontarkan pandangan dan memperjuangkan sesuatu isu. Mereka lebih aktif mendekati rakyat, bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja dan paling penting mereka sentiasa hadir dengan kemesraan dan wajah kebajikan dalam mendekati rakyat tanpa mengira kaum. Itulah sifat yang harus dicontohi. Bersungguh-sungguh dan mereka peka dan lebih cakna terhadap kemahuan rakyat. Itu yang saya lihat sepanjang pemerhatian saya. saya tidak pasti orang lain bagaimana.
Saya pernah berseloroh dengan sahabat serumah saya, Adik Muzammil dari Kedah Darul Aman. Kalau DAP yang bertanding ditempat saya, saya akan sokong calon DAP.
Namun itu cuma seloroh namun boleh jadi kemungkinan atau kepastian jika calon lawannya yang bertanding tidak bagus.
Tahniah dan takziah!
KEHADIRAN PAS : PENUH MAKNA
Walaupun PAS tidak memenangi walaupun satu kerusi dalam PRN kali ini namun keputusan undi yang mereka terima jauh lebih baik sebagai contoh di Beting Maro kerana PAS hanya tewas tipis sebanyak 436 undi berbanding calon BN. Ini petanda baik untuk mereka terus bertapak di negeri Sarawak.
Sebagai rakyat Malaysia Muslim walaupun saya bukanlah penduduk Sarawak namun saya menyambut baik kehadiran PAS di Sarawak. Semoga pemimpin PAS di Sarawak terus dengan misinya untuk menyampaikan Islam kepada rakyat Sarawak begitu juga di Sabah. Kami amat memerlukan pendakwah-pendakwah dan aktivis-aktivis Islam untuk meyemarakkan lagi kesucian Islam di bumi Borneo.
Kehadiran mereka sangat menunjukkan satu kematangan penduduk Sarawak yang mahukan pembaharuan dalam era politik di Sarawak yang berlandaskan Islam. Tugas besar untuk aktivis PAS untuk membawa pemikiran Islam yang lebih efektif dan mampu diterima segenap lapisan penduduk tanpa mengira agama dan bangsa.
Saya juga punya satu pandangan berupa nasihat selaku rakyat Borneo untuk para aktivis PAS dari semenanjung Malaysia jika mereka mahu berkhidmat di tanah Borneo dan mendekati kami disini.Kalian harus terlebih dahulu mempelajari ilmu antropologi dan sosiologi masyarakat Borneo. InsyAllah segalanya pasti mudah . Saya pasti aktivis PAS menerimanya kerana itulah tuntutan sebagai seorang Muslim, belajar hingga ke liang lahad.
Tahniah!
KESIMPULAN RINGKAS
Apa-apa juga parti yang betanding dan mereka menang mereka harus memberikan khidmat bakti yang terbaik untuk rakyat. Itulah sebabnya kalian dipilih!
Semoga Malaysia terus kekal dan harmoni!!
Nota kaki saya :
- Jujurnya saya bukanlah penggemar politik dan ilmu politik juga bukan major saya namun saya menganggap ia satu tuntutan untuk menjadi warga yang celik isu.
- Saya lebih suka bercakap tentang isu perjuangan Bahasa Melayu dan seangkatan dengannya.
Salam Hormat,
MOHD LUTFI HAFIFI BIN JAPILI.


mgkin itu yg blaku pd sarawak…blainan pula yg blaku pd negeri2 yg dipegang oleh pakatan rakyat skg…bile manifestor yg dijanjikan tdk bjalan sepenuhnya, kite mgkin bakal mnyaksikan kekalahan teruk PR pd PRU akn dtg ditambah pula dgn serangan2 dr pihak lawan…sekadar pndangan…
Terima kasih Hezri.
Mungkin itu yang berlaku. Apa-apapun kita tunggu dan lihat PRU nanti.
hehe!