
Samudera buat guru...
Di sudut pintu utama kelas , kelibat seorang manusia mula memasuki kelas dengan perlahan , raut wajahnya agak tua namun semangatnya menampakkan dirinya tidak seperti usianya , dia tampak tegas dan garang.
“Bangun..”
Kalam pertama yang berbunyi kemudian disambung pula .
“Selamat pagi cikgu..”
serentak dengan satu nafas alunannya membuatkan kelas bergema di pagi itu.
Dia mula melihat setiap seorang pelajarnya .
“Kerja sekolah yang saya bagi kamu dah siap?”
Reaksi yang pelbagai mula timbul wajah setiap pelajar , ada yang berpeluh , ada pula yang kelam kabut dan ada yang seperti biasa sahaja seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
“Samad , kamu sudah siap?”
Samad orang pertama yang disapa.
“Err..cikgu , semalam saya tertidur , tak sempat nak buat”.
“Apa yang kamu buat dirumah? tidur saja kah?” Samad hanya diam tanpa jawapan .
“Nah ambik buku kamu ni , buat latihan yang saya bagi di atas padang sana sambil berdiri”
Denda buat samad yang tidak siap kerja sekolahnya.
Di hari yang lain.
“Murid-murid hari ini saya nak lihat kerja sekolah yang saya bagi , haa , samad kerja sekolah kamu bagaimana??”
Samad tunduk dan berdiam diri.
“Samad , kamu dengar tak apa yang saya cakap ni ?!!”
Gema suara itu menjadikan kelas sunyi sepi.
“Saya tertidur cikgu..”
“aduhh !”
libasan rotan membuatkan samad kesakitan .
“Apa nak jadi dengan kamu ni? Datang sekolah lambat , dalam kelas kamu tidur , sekarang kamu keluar , berdiri di padang sana”.
Kampung Sebiru.
Anak-anak kampung girang berlari berkaki ayam bermain sesama mereka . Suasana awal pagi kampung tepian pantai itu agak tenang dengan udara samudera yang nyaman dan selesa.Para nelayan mula melabuhkan kapal-kapal kecil mereka di jeti setelah semalaman di laut, sibuk suasana di Jeti . Hasil mereka dinanti-nanti oleh pemborong yang awal – awal lagi sudah tiba di jeti.
Samad sibuk menjemur ikan kering di ampaian khas yang dibuat oleh ayahnya dihadapan rumah.
“Kau tak pergi sekolah hari ni samad?” tanya ayahnya yang baru sahaja pulang dari laut.
“Pergi ayah , lepas saya jemur ikan kering , saya terus ke sekolah” Samad menyambung kerjanya.
“Oh ya , adik-adik saya dah hantar kerumah makcik Jamilah , lepas sekolah saya akan ambil mereka”, tambah Samad.
Samad merupakan anak yatim , semenjak ibunya meninggal dunia akibat penyakit kanser payudara tahun lalu , Samad banyak belajar untuk berdikari , tambahan pula kesempitan hidup keluarganya membuatkan samad tidak seperti kanak-kanak lain . Walaupun baru berusia 12 tahun , Samad punya tanggungjawab yang besar , jika ayahnya ke laut , samad yang akan menjaga adik-adiknya seramai tiga orang .
“Kamu lambat datang lagi?” tanya Majid .
Sahabat baik Samad yang juga merupakan kawan sekampungnya.
“Nasib baik cikgu Hamidah tak masuk kelas lagi , kalau tidak habis kamu berdiri di tengah padang lagi”,bebel si Majid .
“Kau bukan tak tahu , aku macam mana..” Samad menutup perbualan.
“Bangun , selamat pagi cikgu..”
Kelas 6 Sentosa bergema di pagi itu.
“Murid-murid , pihak sekolah akan mengadakan sambutan hari guru , pada bulan hadapan , saya mahukan wakil dari kelas ini untuk membuat persembahan nanti , kamu ada cadangkan sesiapa?” tanya cikgu Hamidah pada anak-anak muridnya.
“Majid , cikgu” , Sofi mencadangkan .
“Dia pandai menyanyi , hari-hari saya lihat dia menyanyi,kalau cikgu tiada dalam kelas mesti dia menyanyi,macam Akademi Fantasia pulak kelas kita ni” gurau Sofi .
Sofi merupakan ketua kelas 6 Sentosa berseloroh membuatkan satu kelas tergelak.Muka Majid merah , malu.
“Kalau macam tu , kamu lah yang akan buat persembahan ya..”,cadang cikgu Hamidah .
Majid hanya tersenyum.
“Baiklah kelas,sekarang ni saya nak lihat kerja sekolah yang saya berikan semalam”
Seperti biasa cikgu Hamidah pasti akan mencari Samad , di hujung kelas Samad tertidur , penat agaknya.
“Samad!!”
Cikgu Hamidah sudah berubah raut wajahnya yang sememangnya garang , Samad terkejut dan terus terbangun.
“Pashh!!”
Agak kuat juga tamparan yang cikgu Hamidah berikan kepada Samad.
“Kenapa kamu ni teruk sangat? ,Saya menyesal dapat anak murid macam kamu,kurang ajar dan tidak tahu menghormati guru,saya nak kamu keluar dari kelas saya sekarang dan saya tak nak lihat muka kamu lagi!!” bentak cikgu Hamidah
Benar-benar marah.
Cikgu Hamidah memang tegas dan garang orangnya.
“Majid, aku memang budak tak berguna”
Samad memulakan perbualan memecah ketenangan bunyi ombak di pantai sebiru .
“Kau jangan cakap macam tu Samad , cikgu mungkin tak faham bagaimana keadaan kau,sekarang ini , hanya aku sahaja yang tahu kau bagaimana” Majid cuba mententeramkan keadaan.
Samad menangis , dihatinya timbul rasa hiba dan sayu mengenang dirinya yang sering malang. Masing-masing senyap , melihat kumpulan ombak yang tidak henti-henti memukul sang pantai sebiru.
Sudah hampir seminggu Samad sudah tidak hadir ke sekolah , cikgu-cikgu yang lain sudah bertanya-tanya ke mana perginya Samad , namun bagi cikgu Hamidah dia seolah-olah tidak ambil peduli ketiadaan Samad didalam kelas.
“Puan hamidah , kamu guru kelas 6 sentosa kan? tahu ke mana perginya pelajar bernama Samad? Sudah hampir semiggu dia tidak hadir ke kelas saya” tanya cikgu Radzi pada cikgu Hamidah.
“Budak tu memang pemalas , selalu saja datang lewat dan tidur didalam kelas” rungut cikgu Hamidah.
Marahnya mungkin masih belum hilang.
Suasana didalam kelas agak bising , kelas belum bermula . Dihujung tempat duduk Majid berlaku sebuah perbincangan diantara Majid , Sofi dan Ah Leong , mereka Nampak serius seolah-olah membincangkan sesuatu yang penting.
“Majid , kau tahu tak kemana perginya si Samad?” soal si Sofi kerisauan.
“Aku pun dah seminggu tak nampak dia, rumahnya juga macam tiada orang , selalu bila waktu petang dia rajin ke tepi pantai dekat rumah aku untuk mengambil angin,tapi sejak seminggu ni tak ada pula aku nampak” balas Majid.
“Tapi semalam dia datang kedai ayah saya , beli peralatan nelayan, ayahnya suruh barangkali . Tapi aku tak sempat bersembang dengannya” beritahu si Ah leong.
“Hairan juga..” tambah Majid.
Timbul riak wajah yang penuh tanda tanya di sesama mereka bertiga.
“Majid , lusa ni dah sambutan hari guru , kamu dah bersedia nak buat persembahan?”tanya Sofi mengubah topik perbualan.
“Insyallah , eh , Ah Leong kau pandai main gitar kan? Nanti kau mainkan utuk aku ya” pinta Majid.
“Ok , kawan-kawan tak ada hal punya” Ah Leong bersetuju.
“Habis tu aku nak jadi apa?” Sofi juga mahu turut serta.
“Haa..Sofi kau jadi pengurus kami lah , kau kan pengurus artis” gurau Ah leong.
Mereka bertiga ketawa sesama sendiri.
Selepas asar , Majid mahu mengambil angin di pantai berhadapan rumahnya , tiba-tiba dia ternampak Samad, dengan segera dia mendapati Samad.
“Samad , mana kau pergi ? dah seminggu aku cari” Majid beriya-iya menanyakan soalan pada Samad.
“Majid , aku dah berhenti sekolah” jawab Samad . Mukanya tenang tetapi riaknya sedih.
“Kenapa ?” Majid semakin hairan.
“Ayahku , dia tidak mampu lagi nak menanggung perbelanjaan persekolahan aku dan aku memutuskan untuk mengikut ayah ke laut” jawab Samad.
Majid hanya diam , wajahnya mula kesedihan dan simpati.
“Memang aku nak jumpa dengan kau Majid , aku tahu esok kan hari guru , aku nak kau berikan surat ini untuk cikgu Hamidah , aku tak ada hadiah nak diberi” Samad mengeluakan sebuah kertas lusuh dari kocek seluarnya.
“Apa ni Samad?” tanya si Majid.
“Sekadar luahan hati aku pada cikgu Hamidah , aku tuliskan sajak untuknya” balas Samad tenang dan berterus-terang.
Majid memeluk Samad , kali ini dia benar-benar sedih dengan keluhuran hati Samad.Mereka menangis. Pantai Sebiru jadi saksi.
Hari persembahan untuk sambutan hari guru sudah tiba. Majid akan membuat persembahan.
“Kau dah bersedia” tanya Ah Leong dan Sofi.
“Hari ni aku tak menyanyi , aku bersajak , tapi Ah Leong , kau main gitar juga ya untuk aku” balas Majid.
“Kenapa tukar plan?” Sofi kehairanan.
Majid menunjukkan kertas lusuh yang diberikan Samad padanya.
“Hadiah untuk cikgu Hamidah dari samad” Majid senyum , namun senyumannya nampak sedih.
“Samad dah tak sekolah lagi dah , dia ke laut dengan bapanya” Majid menambah.
Suasana sepi. Masing diam tidak bersuara.
“Baiklah , mari kita bersiap” Majid menutup suasana itu .
Persembahan tinggal lagi setengah jam.
Di atas pentas.
“Assalamualaikum , saya Majid dan di sebelah saya Ah Leong , hari ini kami akan menyampaikan sebuah sajak yan bertajuk , “Samudera Buat Guru” , sajak ini di tulis khas oleh sahabat kami , Samad”Majid memulakan biacara.
“Sajak ini untuk guru-guru Sekolah Kebangsaan Seroja terutamanya cikgu Hamidah..” Ah Leong menambah.
Seluruh dewan memberikan tepukan gemuruh.
Timbul rasa hairan di wajah cikgu Hamidah . Terdiam dan ingin tahu.
Ah Leong mula memetik gitarnya dengan perlahan , sayu rentaknya.
“Sajak ini kutujukan buat guru-guruku yang tersayang , ampunan maaf juga buat kalian kerana saya pelajar yang malas dan tidak menghormati kalian. Kalian juga tidak perlu risau lagi dengan anak muridmu yang tidak berguna ini , saya hanya akan ke laut sahaja selepas ini , namun saya juga teringin seperti anak-anak murid yang memberi hadiah buat guru yang disayangi sempena hari yang berbahagia ini , tidak mampu saya berikan hadiah yang mahal-mahal , cumanya sebuah sajak …khas untuk guru-guruku terutamanya cikgu Hamidah” isi surat tersebut..
SAMUDERA BUAT GURU
Pantai hari ini nampak tenang
Tiada gelora , tiada ombak yang garang
Melihat laut yang jauh itu
Umpama melihat ibu yang tersayang
Pada pantai aku melepas rindu
Pada pantai juga aku menangis
Pada ombak ku kirimkan cinta
Pada dunia lautan itu
Guruku ,
Sayangnya aku pada kamu
Umpama lautan yang luas itu
Jasamu umpama samudera
Memberi sebuah kisah cinta pada manusia
Guruku,
Aku anak laut
Laut dan pantai duniaku
Ia juga masa depanku
Ia warna dalam hidupku.
Guruku,
Kasihmu ku anggap ombak
Ombak tenang di bibir pantai
Jasamu juga ku anggap ombak
Ombak yang garang dan banyak memukul pantai
Guruku,
Budimu ku anggap air di laut
Tak pernah kering dan mati
Walau kita nampak jauh
Namun kita dekat pada hati
Guruku,
Jika dosa telah aku lakukan
Restu dan maafmu aku dambakan
Jika hatimu luka
Selautan ampun ku pohonkan
Hari ini dan esok…
Aku akan terus melihat samudera luas ini..
Dan sampai bila-bila..
Samudera ini hadiahku buat guru-guru…
Ada air mata jernih mengalir dipipi para hadirin yang mendengar , Majid teresak-esak mengungkap bait-bait sajak , Ah leong semakin sedih rentak gitarnya. Cikgu Hamidah tidak dapat menahan sebaknya , air mata deras , terlalu deras.
Dia teringatkan Samad. Anak muridnya.
Hatinya Terusik , sesuatu perlu diubah dan berubah.
*****************************************
Buat Ibu bapaku selaku guruku yang utama..
Untuk Guru-guru yang pernah mendidikku…
Buat Insan-insan yang mengenalkan aku erti Ilmu..
“SELAMAT HARI GURU”
Mohd lutfi Hafifi.
Mutah , Jordan


sungguh sedih cerita ini… bersyukurlad dengan apa yg ada..
betul tu solihin..semoga kisah ni ada manfaatnya buat kita.
ini kisah betul ke??..
panjang boleh wat sketsa!
Ni kisah imaginasi saja. cumanya pengajaran dari isinya adalah kisah benar masyarakat kira. Kemiskinan kadang2 membantutkan pendidikan warga Malaysia. Adam , jadilah guru2 yang disayangi murid2!! Selamat hari Guru..
*Kira = Kita
besh sajak nih.
salam ust lutfi.
sisipan buat guru-guru yang menyentuh nurani.
jasa guru perlu dihargai.
moga-moga mendapat redha ilahi..
saya tertarik dengan web kamu Lutfi, macam mana nak buat ya? bulan-bulan berapa bayarannya?
semoga terus maju!
terima kasih cikgu wiween
wslm,
Terima kasih ust afiq..
semoga kita sama2 mendapat pengajaran.
web ni kawan saya yang buatkan. cumanya kalau bayar dia kira setahun . dalam 30 usd.
WAW…SITUS YANG INDAH…SALAM KENAL DAN AKRAB BUAT ANDA…”DARI ANAK BORNEO”..
Terima kasih albert…
Salam perkenalan ya albert.
i like tis cerpen de most…thanks very2 much….
abang lutfi….ade sambungan lagi kee cite niyh tapi best giler laaa abang lutfi nie boleh jadi penulis novel dahh……bolleh buat sambungan tak????