
"Kerana apa anakku? Kerana mereka punyai Iman...."
Perjalanan ribuan batu menyelusuri bumi penuh warna pada kali ini saya simpan sebagai sebuah kenangan yang cukup indah dengan kenangan yang memberi 1001 pengajaran yang penuh berharga buat diri ini.
Bermula dengan perjalanan dari sebuah tanah yang kering dan layu sehingga melewati bumi yang subur serta tenang dan akhirnya melewati sempadan dua perpisahan budaya yang cukup ketara dek perjuangan pembaharuan sebuah negara intipati sekular. Perjalanan ini saya simpulkan dengan mudah, jika dibahagikan mengikut geografi ia bermula dari kawasan yang kering kontang yang dikelilingi padang pasir sehingga saya temukan sebuah daerah nun menghijau mengubat resah dan tenat di mata. Dari Jordan melalui Syria hingga sampai di bumi Turki, sebuah bumi tinggalan kerajaan Uthmaniah.
Jika perjalanan saya diukur dengan ukuran masyarakat dan budaya ia juga membahagikan dengan penuh perbezaan yang ketara. Bermula dari bumi milik keturunan Al-Hashimie , Jordan ini yang mempunyai penduduk yang cukup sedikit hanya 5 juta orang dengan suasana masyarakatnya yang agak berbeza sikapnya dan rentak bahasa yang sedikit kasar kami tinggalkan dengan wajah warga Syria yang cukup lembut dan tenang sikap dan rentak bahasanya, namun apa yang sama adalah mereka tetap bangsa yang dinamakan ARAB.
Melewati sempadan Bab Al-Hawa di Syria seterusnya memasuki Sempadan Hatay Turki membuatkan saya sedikit terpegun setiap kali melewati kedua-dua pintu sempadan dua buah negara ini dan ini bukan kali pertama saya melewatinya dan saya tidak pernah jemu untuk merasai dua suasana ini. Mengapa? Kerana negara Turki begitu selesa dan terhormat menerima tetamu ke negara mereka. Lihat sajalah di Imigresen, saya dihadiahkan dengan senyuman selamat datang oleh pegawai yang bertugas. Berbeza dengan negara Arab, kebiasaannya para pelancong luar disambut dengan muka yang bengis dan perkhidmatan yang cukup “SISTEMATIK” bagi mereka.
Perjalanan hampir 24 jam termasuk transit di Antakya selama 5-6 jam membuatkan saya berasa cukup selesa dengan kemudahan yang disediakan oleh pemerintah negara sekular ini. Terkadang terlintas di pemikiran saya, yang mana lebih baik perkhidmatannya? Yang mengaku mengamalkan dasar negara Islam atau yang sedia ada menjalankan sistem sekular? Saya abaikan sangsi di pemikiran saya itu. Paling penting ialah Islam lebih tinggi dari segalanya. Saya mengukir kesimpulan mudah, mungkin ini bukti keberjayaan disiplin dan rentak ideologi barat yang terserap masuk ke negara dua benua ini. Itu tandanya saya kepenatan menjadi pemikir ketika bermusafir.
KEKUATAN DALAM PERJUANGAN
Perkongsian saya pada kali ini bukanlah pada keindahan tempat yang terdapat di Istanbul ini, namun kisah segelintir masyarakatnya yang membuatkan saya tertanya-tanya sepanjang keberadaan saya disana dan hingga saat ini.
Saya cukup mengkagumi negara ini apabila mereka menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah bagi penghantaran bantuan kemanusiaan kepada insan yang tertindas di bumi sendiri di Gaza, Palestin. Kekuatan perjuangan para sukarelawan Turki mereka hingga sanggup mengorbankan diri pada peristiwa 30 mei 2010 patut dijadikan iktibar buat kita.
Mengapa?
Apa membuatkan saya kagum pada mereka ialah, walaupun sedari kecil masyarakat Turki dikunyahkan dengan sistem pendidikan sekular di mana-mana sekolah mereka menuntut, namun perjuangan segelintir daripada mereka yang cukup serius dengan Islam membuatkan saya lebih terkesima dan rasa terpegun. Jika anak-anak Malaysia yang disuap dengan sistem pendidikan yang cukup sempurna dan terbaik dengan pendidikan Islam dan moral yang cukup baik oleh pihak kerajaan mengapa masih ramai lagi belia Islam di Malaysia tidak cakna dengan isu kemanusiaan sejagat? Persoalan yang dipulangkan pada saya juga untuk difikirkan bersama-sama anda.
KERANA MEREKA PUNYA IMAN

Pertemuan yang menghasilkan Pengajaran
Hari kedua di Istanbul, usai sahaja Asar saya dan rakan-rakan lain yang dipertemukan dengan seorang warga tua Turki yang cukup peramah dan tampak seronok bila berjumpa dengan kami, kami berbual bicara dalam bahasa Inggeris. Walaupun penguasaan tidaklah sebaik mana, namun pemahaman yang kami terima cukup baik, nampak praktikal lagi mudah dari buku.
Pakcik Murad.
Di awal perbincangan dia banyak bertanya tentang keadaan dan suasana di Malaysia kini. Jika 15 tahun dulu dia pernah ke Malaysia dan mengatakan waktu itu tidak banyak masjid kelihatan di ibu negara dan beliau bertanya adakah hari ini masih sama? Kami menjawab , tidak. Banyak perubahan sudah berlaku , masjid-masjid tumbuh bagai cendawan dan masyarakat hari ke hari teguh mengamalkan ajaran Islam. Permulaannya beliau tidak percaya, namun saya janjikan emel untuk dihantar pada beliau gambar-gambar masjid di ibu negara kini. Beliau tersenyum.
Perbincangan disambung lagi petang itu.
“Mahukah kamu mendengar sebuah cerita?”, kami mengangguk.
“Aku suka menceritakan kisah ini kepada siapa-siapa warga Islam, tidak kira apa bangsa sekalipun, Turkish , Arab, Irish dan lain-lain, Ia kisah anak-anak muda yang tabah dan ia berlaku 25 tahun dulu semasa aku mengerjakan Haji”, Pakcik itu menambah dan memulakan cerita.
Kisahnya begini.
25 Tahun dulu ketika pakcik menunaikan haji. Suatu hari, ketika cuaca sedang tidak baik seorang sahabat telah bertandang ke rumah beliau untuk mengajaknya ke mendaki ke Gua Hira’ , namun pakcik itu amat berat untuk menerima pelawaan sahabatnya itu dan menasihati agar pergi ketika cuaca baik tetapi sahabatnya cukup bersemangat untuk kesana hinggakan pakcik itu terpaksa menurut pelawaan sahabatnya. Mereka mula mendaki bukit tersebut.
Setibanya di Gua tersebut , mereka agak terkejut melihat 3 orang pemuda sedang khusyuk menjalankan ibadat , ada yang berzikir dan solat. Pakcik itu memberikan salam namun tidak terjawab , hampir 10 minit baru dijawab . Setelah berbicara, barulah mendapat tahu yang 3 orang pemuda itu sudah 3 hari berada di gua tersebut dan tidak boleh turun kerana cuaca buruk. Selama 3 hari itu mereka hanya berpuasa sahaja , bersahur dan berbuka dengan air zam-zam yang dibawa. Subhanallah, itulah kuasa Allah yang memelihara hambanya yang taat beribadah , walaupun tidak ada sumber makanan semasa 3 hari namun mereka masih kuat untuk beribadah. Dengan kuasa Allah juga , kedatangan pakcik dan sahabatnya itu merupakan pertolongan Allah kepada 3 orang pemuda itu.
Diakhir perbualan, pakcik itu menyimpulkan kisah itu dengan mudah.
Pertamanya kisah 3 orang pemuda itu dikaitkan dengan perjuangan kemanusiaan sukarelwan Freedom Frotila ke Gaza, mengapa mereka sanggup berkorban? Kerana mereka punya Iman yang kuat percaya pada pertolongan ALLAH!!
Keduanya beliau menasihati kami, selaku warga muda belia Muslim, kita harus sedar dan bangkit buat sesuatu untuk Ummah dan Islam.
Perjumpaan ringkas itu kami akhiri dengan salam dan pelukan dari warga tua Istanbul ini. Terlihatnya dimatanya, pastinya dia bercita-cita dan menyimpan harapan untuk melihat kami warga muda Muslim berkhidmat dan berjuangan untuk Ummah. Insyallah.
Semoga perjalanan dan kembara saya pada masa akan datang akan didatangkan lagi dengan memori perjuangan seperti warga tua ini!!
Sehingga kini, saya masih rindukan senyuman kota tua tinggalan Uthmaniah itu.
Semoga catatan kembara ini tidak berakhir disini.
“Berjalan dan mengembaralah, anda pasti melihat 1001 wajah manusia”
Mohd Lutfi Hafifi Bin Japili,
Universiti Mutah , Jordan.

