Resepi : Pizza Ekspress

Pizza Ekspress Bayt JIM

Assalamualaikum..

Apa khabar semua pembaca semua, semoga ceria dan berbahagia selalu dan berfikiran cemerlang sentiasa.

Ya, bagaimana nak jadi insan yang cemerlang ?

Ya..Insan yang cemerlang lahir dari akal yang bersih, hati yang tenang, jiwa yang mantap!!

Begitulah sedikit motivasi untuk petang ini.

Hari ini saya ingin berkongsi satu resepi dengan anda semua. Resepi yang boleh dipraktikkan dimana-mana, mudah, jimat dan sedap. Insyallah. kemungkinan ada yang biasa dengar resepi ini. Mi segera jadi Pizza. inilah yang saya nak kongsikan bersama-sama anda kali ini. kalau jemu makan mi segera, kita ubahsuai supaya tak jemu. Menu ini amat sesuai untuk orang yang bujang mahupun sudah berkeluarga. Jom,  mari kita kongsikan bersama.

Sebelum itu , sedikit info tentang mi segera yang saya baca di akhbar baru-baru ini mungkin boleh membuatkan kita terfikir, “tak sangka!!” , diantara petikan artikel itu ialah :

Presiden Persatuan Mi Segera Dunia (WINA), Koki Ando berkata, berikutan aliran peningkatan itu, persatuan berkenaan meletakkan matlamat untuk menjadikan mi segera sebagai makanan global sebagai menggantikan makanan ruji di dunia.
Katanya, khasiat mi segera juga telah diperkaya dengan nutrien dan zat makanan yang seimbang seperti protein dan karbohidrat yang membantu diet pemakanan individu.

Anda boleh klik link di bawah untuk pembacaan penuh :

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

Bahan-bahannya :

  1. 2 bungkus mi segera (tak kisah perasa apa pun)
  2. Telur 3 biji
  3. bawang besar (dipotong dadu)
  4. Cili merah/hijau (dipotong kecil)
  5. Serbuk lada hitam/putih (1 sudu kecil)
  6. Sayur campur – pilihan
  7. Hotdog/tuna/isi ayam (dipotong kecil) – pilihan.
  8. Minyak untuk memasak.

Cara menyediakannya :

  1. Rebus mi segera (perencah jangan letak)
  2. Sediakan satu mangkuk besar.
  3. Letakkan semua bahan-bahan dan gaulkan bersama-sama mi segera yang direbus tadi bersama-sama perencah mee segera.
  4. panaskan kuali leper dan letakkan 3 / 4 sudu minyak.
  5. Bila sudah panask, masukkan bahan-bahan tadi .
  6. masak macam masak telur dadar. (dalam 5 minit)
  7. Tips : api yang sederhana supaya tidak hangus.
  8. Sedia untuk dihidang.

Menu ini sesuai untuk minum petang atau bila-bila masa sahaja ketika anda lapar. Jadi, Insyallah kita berjumpa lagi di resepi akan datang. Semoga hujung minggu ini dijadikan waktu cuti yang berfaedah buat anda semua.

Semoga anda berbahagia selalu.

Renung-renungkan,  selamat beramal!!

Mohd Lutfi Hafifi.

Tetamu Senja

Tetamu Senja

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat

~ A. Samad Said

Puisi nukilan sasterawan negara ini sungguh menyentuh hati. Sesungguhnya kita di dunia ini hanya sang “tetamu senja”. Bila-bila saja boleh diambil kembali oleh DIA.

Jangan lelah dan penat untuk BERBAKTI.

Salam perjuangan buat semua.

Mohd Lutfi Hafifi Bin Japili.

Resepi : Pasembor Perantau

Pasembor Perantau di Bayt JIM

Orang kata memasak di dapur dapat menghilangkan kebosanan.

Orang kata memasak di dapur dapat melahirkan rasa cinta dan sayang dan membuang rasa marah.

Orang kata memasak di dapur dapat melatih kesabaran dan menurunkan rasa ego.

Orang kata memasak di dapur mampu mencerminkan peribadi diri.

Orang kata makanan yang di masak oleh kita menterjemahkan perasaan ketika memasak….

SEMUA itu.. Orang kata.. Anda kata?

Saya kata , betul tu semua. Cuma saya tambah .. saya ke dapur sebab lapar. Haha.. [jujur tak?]

Baru-baru ini saya mencuba satu resepi yang mana saya kombinasikan resepinya daripada kawan-kawan dan blog walking saya.

PASEMBOR.

Menu yang cukup popular di Malaysia lebih-lebih di Pulau Pinang, Pasembor Padang Kota memang terbaik. Kalau ke Pulau Pinang jangan lupa ke sana. Anda tidak akan merasa rugi. Salah satu tarikan menarik di negeri yang kaya dengan makanan yang beraneka ini dan salah sebuah negeri pelancongan pilihan saya.

Di bumi Jordan ini unutk mendapatkan bahan-bahannya memang agak payah sebabnya sesetengah bahan tidak terdapat disini dan kemahiran mengolah amat diperlukan sebenarnya.

Jom , saya kongsikan bersama anda Pasembor yang saya telah olah :

2 perkara asas dalam pasembor ialah kuah kacang dan isi-isinya.

KUAH KACANG

Bahan-bahan :

  1. Kacang tanah (kalau di jordan beli kacang yang licin tu yang siap boleh dimakan terus, tak perlulah di goreng)
  2. Cili kering segenggam
  3. Halia sedikit
  4. Bawang besar dan bawang putih
  5. Santan cair ( tips : beli jus hind – santan kering kemudian kisar dengan air sampai jadi santan, kemudian perah)
  6. Gula merah ( kalau tiada gula biasa pun boleh)
  7. Serai (kalau tak ada tak apa , tapi kalau boleh cari lah)
  8. Udang kering (kalau ada)
  9. Garam
  10. Minyak
  11. Air sedikit

Cara-cara :

  1. bahan tadi kisarkan semuanya kecuali (kacang,santan,gula,garam.minyak) kemudian asingkan.
  2. Kacang tadi kalau nak goreng pun boleh kalau tak goreng pun tak mengapa. (untuk kacang jenis kat Jordan ni saja).
  3. Kisar kacang tu guna pengisar yang kering. (Buat 2 mangkuk , kali pertama kisar sampai halus , kali yang ke-2 kisar kasar-kasar)
  4. Panaskan minyak dikuali.
  5. Kemudian bahan-bahan bawang dll tadi masukkan dan tumis sampai naik bau.
  6. Kemudian masukkan kacang yang dikisar.
  7. Dah agak-agak sebati masukkan santan cair. Gaul.
  8. Tambah air jika pekat sangat.
  9. Bila dah nampak macam naik minyak , masukkan gula merah atau gula biasa dan garam. Ikut rasa nak letak banyak mana.
  10. Gaul sampai naik minyak dan masak.
  11. Siap untuk diasingkan.

ISI PASEMBOR

  1. Cucur kembung potong kecil-kecil (buat cucur macam biasa letak baking powder atau yis),nanti akan kembang bila goreng.
  2. Kentang (goreng sampai kuning)
  3. Telur rebus (potong dua)
  4. Timun dan lobak merah potong kecil-kecil.
  5. Tauhu dan taugeh (kalau terjumpa kat Jordan ni)
  6. Ayam goreng yang disiat * pilihan
  7. Bahan-bahan lain terpulanglah nak letak apa * pilihan

*Bahan-bahan diatas ni letak kan sekali dalam pinggan yang besar.

CARA PENYEDIAAN

  1. Taburkan saja kuah kacang tadi di atas pinggan yang dipenuhi dengan isi-isi Pasembor itu.
  2. Kemudian makan lah bersama kawan-kawan yang ada dirumah tu sambil tengok TV atau tengok filem yang di download dari torrent.hahaha..
  3. Musim-musim bunga ni kalau dihidangkan bersama air sirap atau air oren memang sedap.

Sekian sahajalah perkongsian daripada saya menu yang saya cuba baru-baru ini. Semoga dapatlah anda mencubanya jika berminat.

Terimalah serangkap pantun dari saya :

Pulau Pinang pulau mutiara,
Pulau indah , pulau tercinta,
Kalau teringin pasembor juara,
Jangan lupa ke Padang Kota.

Duduk di Jordan tiada Pasembor,
Hanya yang ada Mansaf  Karaki,
Kalau teringin makan Pasembor,
Pergi dapur masaklah sendiri.

Sekian, wassalam..
Jumpa lagi ya.

Mohd Lutfi Hafifi
Dapur baru JIM.

Doa Buat Kekasih

Andainya aku bertanya
Padamu tentang bahagia
Di mana nilai setia
Di manakah puncak cinta

Mahukah engkau mengerti
Harapan serupa mimpi
Ianya dapat terjadi
Atau hilang tak berganti

Sejarah mengajar kita
Menjadi lebih dewasa
Meniti arus angkara
Lupakan kisah yang lalu
Teguhkan tugu imanmu
Doaku buat kekasih

Yang dulu usah dirindu
Hilangkanlah dari hatimu
Doaku buatmu kekasih….

PENUH PERINGATAN

Lirik lagu nyanyian Ramli Sarip dan Datuk Khadijah Ibrahim meniti indah penuh bererti di halwa telinga saya. Entah kenapa lagu ini dipasang berulang-ulang oleh saya sejak 2 – 3 hari ini. Saya cuba memahami setiap patah pengertian lirik lagu ini.

Saya terjumpa beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan berhikmah buat pendengar. Saya percaya pendengar lagu yang baik tidak hanya menjadi sekadar pendengar kosong-kosong sahaja. Memahami dan menghayati lirik lagu harus dibawa bersama untuk mendapatkan mesej lagu itu.

“Doa Buat Kekasih” . Sekali imbas tajuk lagunya membayangkan ianya sebuah lagu jiwang-jiwang yang penuh dengan bait-bait tangkap lentoq penuh syahdu. Jangkaan saya sama sekali silap. Lagu ini begitu mengisahkan yang kita tidak harus berputus asa dalam menjalani kehidupan ini. Mengharap pada khayalan cinta yang penuh angan-angan tidak akan ke mana. Lirik lagunya memberikan persoalan apakah cinta sebenar yang harus dicari didalam hidup ini.

Motivasinya cukup menyentuh. Disuruhnya kita bangun dari pengalaman lama agar menjadi lebih matang dan bergerak menjadi manusia yang sebenar-benar dewasa.Mahu pendengar kembali kepada yang Esa sebenarnya. Sesungguhnya cinta itu harus diberikan pada Allah S.W.T.

Begitulah sedikit sebanyak yang saya mahu kongsikan pada semua. Jika anda mendengar lagu ini pastinya juga akan terjumpa sesuatu peringatan dan nasihat yang baik untuk anda.

Semaikan Cinta sebenar hanya pada PENCIPTA dan CINTA-NYA.

Selamat Mendengar!!

Mohd Lutfi Hafifi,

Pekan sunyi tengah malam, Jordan.

:: Mengapa Earth Hour ?? ::

Mari Melihat Dunia..

Fakta Earth Hour

Earth Hour merupakan acara tahunan yang diadakan oleh Tabung Alam Sedunia WWF, disambut pada hari Sabtu terakhir pada bulan Mac, yang mahukan kediaman dan pejabat untuk mematikan lampu yang tidak digunakan dan peralatan elektrik yang tidak digunakan selama satu jam untuk membangkitkan kesedaran ke atas perubahan iklim. Dikendalikan oleh WWF Australia dan Sydney Morning Herald pada 2007  dan mendapat sokongan dunia pada 2008.

Menurut WWF Thailand, Bangkok mengurangkan penggunaan elektrik sebanyak 73.34 megawatt, dimana, satu jam, sama dengan 41.6 tonkarbon dioksida. Bangkok Post memberikan perbezaan rajah 165megawatt-jam dan 102 ton karbon dioksida

Di Dubai, dimana lampu luar dibeberapa bandar utama tanah besar telah dimatikan dan lampu jalan dikawasan terpilih telah dimalapkan sehingga 50%, Electricity and Water Authority melaporkan penjimatan 100 megawatt-jam penggunaan elektrik. Ini merupakan pengurangan 2.4% penggunaan elektrik dibandingkan jam sebelumnya.

Ireland, keseluruhannya, telah mengalami pengurangan dalam penggunaan elektrik, menggunakan 1.5% pada acara tersebut. Dalam masa tiga jam antara 6:30 petang dan 9:30 malam, telah berlaku pengurangan 50 megawatt, menjimatkan 150 megawatt-jam, atau sekitar 6 ton karbon dioksida.

Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk perubahan Iklim di Bali  menjadi jelas apabila menandatangani Protokol Kyoto bersetuju bahawa pengurangan kesan rumah hijau dari 25 hingga 40% boleh dilakukan pada 2020 untuk mengurangkan kesan pemanasan global yang menyebabkan peningkatan air laut dan beberapa masalah yang lain. Dalam konteks tersebut Earth Hour berada pada tokenisme terburuk atau pada masa terbaiknya menyedarkan manusia untuk maju ke hadapan seperti menggunakan tenaga hijau dari sumber sepertitenaga angin, tenaga suria, atau tenaga nuklear, dan tidak menggunakan elektrik yang sumbernya dari pembakaran bahan bakar fosil seperti arang batu, gas asli dan petroleum.

Sengaja saya berikan fakta untuk kita memahami dengan lebih jelas mengapa EARTH HOUR diadakan.

Luhurkan cinta...

CERITA BUMI

Tahun sudah saya pernah menulis tentang “Earth Hour” yang memperjuangkan isu perubahan cuaca dunia dan isu alam sekitar melalui kempen “1 jam bergelap tanpa elektrik”.
Walaupun sambutan agak kurang , namun sekurang-kurangnya ia sudah menjadi satu kisah baru bagi yang tidak pernah mengetahuinya , semoga ianya menjadi pengajaran dan teladan buat kita , “Yang memahami…”.

Tidak ramai dikalangan warga muda kita minat membicarakan tentang bumi , banyaknya berbicara soal cinta , hiburan , dan politik.
Ramai yang tidak mengambil endah kisah bumi , walhal di atas jasa ciptaan Allah yang sudah “tua” inilah kita berhutang berjuta jasa padanya dalam kehidupan seharian dan di atas bumi ini jualah kita menerima berjuta nikmat yang Allah kurniakan.

“Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakanNya kepada kamu; tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah; Dia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (dari menyembahnya)?” (Fathir – 3)

Jika Senator Gaylord Nelson menjadi pencetus kepada kesedaran rakyat Amerika untuk memperjuangkan isu bumi dan alam sekitar dan akhirnya “Hari Bumi” sehingga kini disambut di seluruh dunia setiap 22 april tiap-tiap tahun.

Dimana pula warga muda Malaysia Muslim yang sibuk memperjuangkan isu bumi ini??

Adakah belia Muslim seperti kita khususnya hanya hebat membicarakan soal politik dan perkara “kosong”?? yang hanya di awal ceritanya perbalahan dan di akhir ceritanya jua pergaduhan.

Dunia hari ini...Akan datang??

KESEDARAN YANG HARUS DIPUPUK

“Matahari dan bulan beredar menurut perhitungan. Dan tumbuh-tumbuhan serta pohon-pohonan, keduanya tunduk kepada-Nya. Dan Allah telah meninggikan langit dan Dia telah meletakkan neraca keadilan, supaya kamu jangan melampau batas tentang neraca itu. Dan tegakkanlah (laksanakanlah) timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.” (Al-Rahman , 5-9 )

“Islam berusaha menjaga alam sekitar dan segala elemennya dengan cara memberikan penekanan terhadap tuntutan moral, peraturan dan undang-undang” (Prof. Dr. Yusof Al-Qaradawi, Riayatul-Bayiat fi Syariatul-Islam)

Ulama' juga memperjuangkan isu ini

Perkara diatas menunjukkan betapa Islam menuntut penganutnya agar mempunyai nilai kesedaran yang tinggi terhadap isu pemuliharaan alam sekitar dan apa-apa yang berkaitan dengannya.

Kesedaran ini haruslah dipupuk di dalam jiwa segenap Muslim yang berada didunia ini agar tanggungjawab dan kesedaran yang tinggi dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna.Oleh yang demikian , generasi muda haruslah memainkan peranan yang cukup penting dalam melaksanakan misi murni ini . Hal ini kerana generasi muda merupakan penggerak yang aktif dalam melaksanakan sesuatu perkara dan misi.

Jika kita melihat kepada persekitaran kita di Jordan. Masyarakat setempat kurang mengambil cakna terhadap isu pemuliharaan alam sekitar dan perubahan iklim dunia.Pencemaran yang dilakukan oleh mereka terhadap alam sekitar amat menyedihkan lebih-lebih lagi majoriti mereka disini beragama Islam.Membuang sampah merata-rata dan merokok merupakan amalan kebiasaan mereka yang menyebabkan pencemaran berlaku dengan hebatnya , hatta kawasan pemuliharaan sejarah misalnya di tapak peperangan Mu’tah tidak dijaga dengan baik dan sempurna.Sampah dimana-mana. Sikap tidak bertanggungjawab seperti ini yang mencerminkan pandangan dunia luar terhadap dunia Islam.

Kadangkala kita juga terikut dengan cara mereka.

dalam masa yang sama , kita mengutuk perbuatan keji yang dilakukan mereka.

KITA??

Lahirkan Komuniti Prihatin..

SEMUANYA BERMULA DARI KITA

“Ia lah tuuu..” Bermain alasan.

“takper ini fardhu kifayah , orang lain dah buat..” Cuba memberi alasan.

“Alaa gelap-gelap , bukan best pun..” Alasan biasa.

“sejam jerr??? pastu …. membazir balik..” Alasan “BIJAK“.

“Malas aku nak ambik cara..” Mencari Alasan.

Bagi yang mempunyai ujian @ imtihan mereka juga tidak terkecuali dengan kempen kesedaran ini. Cumanya mereka tidak menutup lampu sewaktu kempen ini dijalankan. Namun mereka mempunyai kesedaran yang pembaziran elektrik ada kesannya.

Diatas merupakan beberapa respon yang saya terima. Saya sudah menilai mengikut pemikiran saya, kini anda yang membaca cubalah menilai  pula.

Walaupun kempen ini cuma dijalankan selama satu jam setiap tahun , namun sebagai insan yang punya keprihatinan dan kemanusiaan terhadap isu alam sekitar mereka akan berfikir dengan hikmah kenapa kempen ini dijalankan. Adakah untuk suka-suka , kemudian diuar-uarkan didalam media sedunia?? Ataupun kempen ini cuba mendidik manusia agar bersikap jimat-cermat terhadap penggunaan elektrik??

Rasa pelik ke?

KENAPA PELIK??

Perubahan cuaca setiap tahun mengalami satu keadaan yang tidak disangka-sangka.

Musim sejuk tidak menentu. Sekejap panas , sekejap sejuk.

Negara yang tidak pernah menerima salji , turun salji.

Hujan , banjir dan ribut menjadi-jadi di negara beriklim khatulistiwa.

Musim panas , semakin panas dari sebelumnya.

Serta banyak lagi bencana yang menimpa dunia , saban hari kita dengar di media.

ITU perkara pelik bagi yang tidak mengikuti perkembangan alam sekitar sedunia.

Biasanya alasan yang kita akan dengar ialah , dunia sudah tua , ini tanda kiamat , Tuhan nak uji hamba dan macam-macam lagi.Semua menjadi alasan sebagai noktah menutup bicara.

Alasan itu ada benarnya. Namun adakah ia hanya sekadar alasan semata-mata tanpa memikirkan mengapa alasan itu diberikan?? Tidakkah kita mahu mencari mengapa alasan itu dibina??

Buntu fakta atau buntu idea ?

Jangan dilupa , Allah mencipta kita dimuka bumi ini , diantara hikmahnya ialah kita disuruh melihat dan mempelajari apa yang ada dimuka bumi ini.Kita disuruh bersifat MENCARI.

Mencari keagungan pencipta alam ini. Mencari hikmah mengapa bumi ini diciptakan.

IMPIAN KITA , IMPIAN DUNIA

Kita semua masih belum terlambat untuk sama-sama berusaha kearah dunia yang lebih sempurna dan ceria. Kita tidak perlu tunggu tahun hadapan bilamana earth hour ini dilaksanakan. Kita hanya perlu bermula dari sekarang untuk sama-sama menyedari akan kepentingan isu ini.Kita yang sedar akan menjadi diantara mereka yang merealisasikan impian dunia ini!!

“Orang bijak berfikir tindakannya sentiasa bijak , Orang yang buatBIJAK biasanya dia akan hebat bercakap dari orang yang bijak…”

LAKUKAN APA YANG KITA BOLEH LAKUKAN

Kita yang harus memulakan dahulu.

Tidak perlu untuk menyalahkan sesiapa didalam dunia ini terhadap kekejaman meeka terhadap isu ini.Salah dan menyalahkan menyebabkan tindakan kita semakin lembab dan lambat.

Mulakan sahaja dengan KITA.

  • KITA haruslah menyokong terhadap mana-mana organisasi atau individu yang memperjuangkan isu alam sekitar dan perubahan iklim global.Sokongan yang kita berikan akan memperkuatkan lagi semangat untuk memberi nilai kesedaran terhadap dunia.
  • KITA haruslah memulakannya dari rumah kita sendiri. Kebersihan bilik dan rumah haruslah dijaga dengan baik , begitu juga penggunaan barang-barang elektrik.Bermula dari rumah , kita akan menterjemahkannya di luar rumah.
  • KITA haruslah bersikap bijak dengan menunjukkan sifat tanggungjawab dan kesedaran kita terhadap isu ini terhadap masyarakat.Tidak perlu HIPOKRIT. Ubah suasana dan keadaan diri kita,itu kata kunci.
  • KITA haruslah menjadi ejen penyedar terhadap isu ini. Sebarkan dan maklumkan kepada keluarga , sahabat , kawan-kawan , jiran tetangga , rakan YM , rakan blogger , dan sesiapa sahaja yang anda kenal. Anda dapat pahala , dunia berubah wajah.
  • KITA haruslah menunjukkan kepada dunia bahawa ISLAM merupakan agama yang menuntut penganutnya agar mencintai alam sekitar dan peka terhadap isu ini.

JAYAKAN MISI INI BERSAMA-SAMA

Jom!!!

Marilah kita sama-sama seluruh mahasiswa Malaysia Jordan  menyahut seruan di dalam kempen Earth Hour yang dilaksanakan oleh WWF ini.Sokongan kalian akan membantu generasi masa hadapan untuk melihat wajah dunia yang ceria dan segar!!!

27 MAC 2010 (SABTU) – 8.30 MALAM (waktu tempatan)

Tutup lampu dan punca elekrik selama 60 minit dan sama-sama kita renungi dan muhasabah diri kita terhadap nilai kesedaran untuk alam sekitar dan wajah dunia kita!! Satu tuntutan di dalam ISLAM agar kita mempunyai sifat tanggungjawab terhadap DUNIA.

Ayuh semua !!!! Kita mulakan dengan diri KITA….

” IMPIAN KITA , IMPIAN DUNIA”

~MUHASABAH BUAT SAYA DAN YANG MEMBACA~

Mohd Lutfi Hafifi.

P/S : Tulisan ini merupakan kombinasi beberapa artikel saya tentang isu ini pada tahun lepas. Semoga ia menjadi satu perkongsian bermanfaat buat semua!!

:: Jangan Tunggu-Tunggu Lagi…. ::

Apa salah bayi ini?

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik”.

(al-Ahzaab; 21)

‘Agama itu ialah nasihat”.Ada yang berkata “untuk siapa ya Rasulullah. Sabdanya “untuk Allah dan untuk Rasul-Nya untuk pemimpin orang-orang Islam dan orang ramai di kalangan mereka’.

(Riwayat Bukhari)

Saban hari berlalu, kita dikejutkan dengan pelbagai isu-isu menarik di tanah air sendiri. Dari isu kehangatan politik di parlimen, isu perbalahan yang melibatkan golongan agama, isu hiburan yang memeningkan serta pelbagai isu-isu semasa dalam negara kita di Malaysia. Bagi mahasiswa seperti saya di Jordan, kami juga tidak terkecuali daripada menuruti sorotan perkembangan apa yang berlaku di tanah air tercinta.

Cumanya perkara yang paling menarik minat saya untuk diketengahkan pada semua ialah isu ‘BUANG ANAK’. Saban hari kita didedahkan dengan pelbagai kisah buang anak di Malaysia. Agak janggal untuk mendengar perkara sebegini berlaku di tanah arab.Kalau ada pun, macam tak ada saja. Namun ia berlaku di tanah tumpah darah sendiri. Isu ini sudah lama berada di ‘pasaran semasa’ di Malaysia dan seingat saya ketika saya masih berada di sekolah rendah, isu ini sudah didengari dan kini , perkara ini semakin menjadi-jadi dan memeningkan kepala.

Apa masalah mereka yang membuang anak-anak yang tidak berdosa ini?

Pandangan saya. Ya benar, mereka yang membuang anak ini berdosa besar dan akan menjadi pembunuh jika bayi yang dibuang itu mati. Susah berbuat dosa kerana ter’bunting’ ditambah pula bonus dosa membunuh. Memang ini tidak boleh dinafikan salah si pelaku.

Salah mereka sahaja??

Pendidikan sedari awal patut dipergiat dan dipertingkat.

Ini yang menjadi persoalan yang harus dilemparkan pada kita .

Pesalah-pesalah buang anak ini peratusannya terlalu tinggi dengan orang ISLAM di negara Malaysia. Mengapa orang ISLAM? Tidak cukupkah pendidikan agama Islam yang diajar dari sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah?

Sesekali saya terfikir , kalau pelajar bukan Islam di sekolah mengambil subjek pendidikan Moral , mereka lebih bermoral dari pelajar Islam yang mengambil matapelajaran pendidikan Islam.

Adakah nilai-nilai murni itu tidak dibahaskan dalam subjek pendidikan Islam?

Memang dibahaskan. Tetapi tidak mencukupi bagi saya. Kerana saya juga melalui zaman persekolahan rendah dan menengah. Beberapa penekanan elemen akhlak mulia patut diserapkan dengan lebih banyak. Andai pelajar bukan Islam mengambil pendidikan Moral,wajibkan juga pelajar yang beragama Islam mengikutinya. Kita harus percaya ini memungkinkan ada peratusan yang naik dari mereka lebih bersifat baik. Siapa tahu?

Pendidikan Seks VS pendidikan Akhlak/Moral ?

Pelajaran untuk jadi MANUSIA...

Baru-baru ini Datuk seri Shahrizat selaku menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat menyarankan agar pendidikan  seks diperkenalkan diperingkat sekolah bagi memberi pendedahan terhadap isu ini.

Walaupun ia satu cadangan yang agak baik dari segi perlaksanaan , namun saya pasti ianya bukanlah satu kaedah terbaik untuk mengatasi masalah ini.

Pelajar sekolah menengah, bila  didedahkan dengan pelbagai bentuk frasa baru , lebih-lebih lagi ia adalah frasa ‘SEKS’ ini akan mengakibatkan sesetengah pelajar cenderung untuk berfikir ke arah lain dan ini juga bisa membuatkan mereka untuk mencari lebih lanjut bagaimana SEKS itu?

Jika apa yang mereka jumpa baik  , baiklah jadinya. Namun jika sebaliknya.

Dunia hari ini kita dihidangkan dengan pelbagai cara mudah untuk mencari 1001 maklumat di serata dunia. Kadang-kadang anak murid lebih cepat tahu daripada gurunya tentang sesuatu isu.

Maka, seharusnya bukanlah pendidikan seks itu diutamakan dalam pembelajaran di sekolah, namun satu kurikulum baru tentang pendidikan akhlak/moral perlu dikaji semula untuk diperkenalkan kepada semua pelajar sedari peringkat rendah lagi. Jadikan ia subjek asas yang wajib diambil di semua peringkat pengajian.

Daripada pendidikan akhlak inilah, kita boleh membina jati diri syakhsiah manusia yang berguna kepada manusia dan dapat mempraktikkan nilai-nilai murni dengan banyak sekali. Serta daripada pengajaran akhlak ini juga, kita mampu membimbing para warisan negara kita untuk bersikap bijak memilih jalan hidup yang mulia dan memberi manfaat.

Saya juga percaya, jika kita mengenengahkan sumber-sumber panduan akhlak Islam yang sebenar dalam pendidikan ini, ia juga mampu menjadi bonus dakwah kepada mereka yang bukan beragama Islam.

Bukanlah dinafikan bahawa yang masalah hiburan yang terlampau dan seangkatan dengannya juga menyumbang peratus kepada masalah ini. Namun kita harus sedar, ia perlu dimulakan daripada mana untuk mengatasinya.

Sekadar berkongsi pandangan untuk diteliti dan dimuhasabahkan oleh pembaca.

Saya percaya , anda yang membaca punya keprihatinan terhadap isu ini, bukan?

Saya juga percaya anda juga punya 1001 idea dalam mengatasi masalah ini, bukan?

Insyallah, kita mampu bersama-sama membangunkan masyarakat kita.

Mulakan saja dengan langkah pertama anda…..

Jangan tunggu-tunggu lagi…

Mohd Lutfi Hafifi.

Mutah-Jordan.

p/s : Musim ujian. Semoga berjaya semua kawan-kawan.

:: LutfiHafifi.com Kembali .. ::

Alhamdulillah….

Setelah lebih sebulan blog saya bercuti dek kerana tamatnya tempoh bekerja,Insyallah lutfihafifi.com akan beroperasi seperti biasa.

Terima kasih saudara Saifuddin Sairin sahabat saya diatas pertolongan mengupgrade web ini.

Sama seperti dahulu…Insyallah penulisan akan dipertingkatkan.

Jangan segan-segan, datanglah selalu menjenguk saya disini.

Salam hormat , ketemu lagi di bicara akan datang.

Salam Sayang ,

Mohd Lutfi hafifi.

:: Yang lain tidak tahu… ::

Sanah helwa untuk diri sendiri...

Sanah helwa untuk diri sendiri...

Semalam 7 Rabiulawal 1431 …

Mengikut kalendar Hijrah , semalam merupakan tarikh lahir saya yang ke- 24 tahun.

Amat bersyukur pada Allah kerana memberi ruang dan nafas untuk terus hidup…

Juga amat bersyukur kerana tarikh kelahiran saya begitu dekat dengan tarikh lahirnya Baginda  Rasulullah S.A.W yang tercinta.. Sollu Alan Nabiy… Allahumma Solli Ala Sayyidina Muhammad Wa Ala Alihi wa Sahbihi Ajmaien..

Terima Kasih Ibu Yang melahirkan saya dan Ayah yang mendidik saya..

P/S :

* Satu promosi yang giat harus  dimainkan oleh badan-badan Islam di Malaysia agar penggunaan kalendar Islam dapat diperluas dan dipromosikan dengan lebih giat dengan harapan semoga satu hari nanti kalendar Islam dapat menjadi kalendar ikutan satu dunia..aminn!!

:: Terus Sukses Dan Maju Sahabatku .. ::

Masa berlalu begitu pantas tanpa memberi peluang untuk berundur semula. Namun itulah yang dipanggil kenangan dan kenangan itulah mendidik kita untuk belajar jauh melihat ke hadapan. Semua manusia pasti akan melalui kehidupan ini dengan pelbagai kenangan serta nostalgia indah .

Cumanya jangan lupa untuk terus melihat kehadapan . Sesungguhnya perjalanan dan kembara  hidup ini pengakhirannya hanyalah sebuah kematian yang merehatkan kita dari lelah kembara hidup…..

Buat senior-senior dan sahabat-sahabat yang sudah berjaya menamatkan pelajaran dan pulang ke tanah air, doakan saya untuk terus cekal dan berjaya seperti anda..Insyallah!!

Sesungguhnya kenangan bersama kalian pasti mengukir kisah yang istimewa dalam diri ini…Terima kasih atas sebuah erti persahabatan ini..Semoga persahabatan kita terus diredhai Allah.. Amin Ya Rabb..

(Teringat pada super senior yang lama yang masih segar dalam ingatan… Mohamad , adam , nain , Kadir ,Kak afrah , kak azlina , kak yong,ikwan, kak esah , kak minah , jali , kak fatimah zahra , bg lan , mutawaliii , muhaimin , k.una , k.mida , k.ipan , ET , k.paan dan ramai lagi nk disebut…. kalian juga masih kekal dalam ingatan)

Kongsi Kenangan , Kongsi Harapan , Kejar Cita-Cita di hadapan!!

Bersama Abg Mizi... Senior pertama yanh mengajar saya bahasa arab Ammiah Jordan .. "Ishlounakk..??" tak akan dilupa sampai bila2.. banyak pengorbanan beliau..Insyallah bakal menjadi pakar Bahasa Arab Di Malaysia.. The BEST SENIOR..

Bersama Abg Mizi... Senior pertama yanh mengajar saya bahasa arab Ammiah Jordan .. "Ishlounakk..??" tak akan dilupa sampai bila2.. banyak pengorbanan beliau..Insyallah bakal menjadi pakar Bahasa Arab Di Malaysia.. The BEST SENIOR..

Yang berpurdah...happy Go lucky!! selamat Pengantin baru!! juga bakal Pakar Bahasa Arab di Malaysia..

Yang berpurdah...happy Go lucky!! selamat Pengantin baru!! juga bakal Pakar Bahasa Arab di Malaysia.. cheng2 lambat lagi balik...hahah..kita 1 flight nanti.

Syafiq...tinggalkan kenangan sebagai Raja Torrent Mutah...hehe.. Sahabat saya yang cukup memahami fikrah seni ini..juga Insyallah bakal menjadi pakar Bahasa Arab Di Malaysia...jemput2 lah dtg restoran beliau di Ipoh..

Syafiq...tinggalkan kenangan sebagai Raja Torrent Mutah...hehe.. Sahabat saya yang cukup memahami fikrah seni ini..juga Insyallah bakal menjadi pakar Bahasa Arab Di Malaysia...jemput2 lah dtg restoran beliau di Ipoh..

Muhammadshahrulifwat.blogspot.com .... Teruskan perjuangan Ifwat , semoga menjadi Pakar Fiqh Kontemporari.. banyak kenangan bersama beliau . Cita2nya mampu menggegar dunia...

Muhammadshahrulifwat.blogspot.com .... Teruskan perjuangan Ifwat , semoga menjadi Pakar Fiqh Kontemporari.. banyak kenangan bersama beliau . Cita2nya mampu menggegar dunia...

(gmabar diambil masa dia tahun 2 , jadi Biro Perhubungan) Mr.Presiden PERMATA 2008/2009 yang sporting dan berfikiran jauh.... Syaheed Nizar.. Guru Iqamah kami..Bila pulang nanti dia akan sambung semula Bidang Engineer yang ditangguh sekian lama..Semoga Berjaya..

(gmabar diambil masa dia tahun 2 , jadi Biro Perhubungan) Mr.Presiden PERMATA 2008/2009 yang sporting dan berfikiran jauh.... Syaheed Nizar.. Guru Iqamah kami..Bila pulang nanti dia akan sambung semula Bidang Engineer yang ditangguh sekian lama..Semoga Berjaya..

Fakhruddin.. Insyallah bakal jadi Businessman yang berjaya... sahabat yang sangat baik dan memahami...terus kejar cita2..

Fakhruddin.. Insyallah bakal jadi Businessman yang berjaya... sahabat yang sangat baik dan memahami...terus kejar cita-cita..

Jeneral Faiz Fakhrudinn... Insyallah bakal menjadi Pakar dalam bidang pertahanan negara yang memiliki Ijazah Syariah...tahniah faiz!!

Jeneral Faiz Fakhrudinn... Insyallah bakal menjadi Pakar dalam bidang pertahanan negara yang memiliki Ijazah Syariah...tahniah faiz!!

yang ini istimewa.... Uncle Fudhaill...seorang yang susah bergambar dan mendapatkan gambarnya. Senior yang cukup prihatin dan baik hati...Banyak pertolongan yang beliau hulurkan pada saya.. kalau boleh x nak bagi dia balik Malaysia..suruh smbung M.A terus kat sini..huhu..semoga fudhail dpaat menjadi Profesor satu hari nanti...amin..

yang ini istimewa.... Uncle Fudhaill...seorang yang susah bergambar dan mendapatkan gambarnya. Senior yang cukup prihatin dan baik hati...Banyak pertolongan yang beliau hulurkan pada saya.. kalau boleh x nak bagi dia balik Malaysia..suruh smbung M.A terus kat sini..huhu..semoga fudhail dpaat menjadi Profesor satu hari nanti...amin..

Izzul Anang... Insyallah...semoga menjadi usahawan Bundle yang berjaya...beliau juga bakal menjadi Duta malaysia satu hari nanti.. hubungan diplomatik sangat kuat dengan pelajar luar!! tahniah!!

Izzul Anang... Insyallah...semoga menjadi usahawan Bundle yang berjaya...beliau juga bakal menjadi Duta malaysia satu hari nanti.. hubungan diplomatik sangat kuat dengan pelajar luar!! tahniah!!

Tiada dalam Ggambar2 : Ustaz fendi … semoga sukses selalu!! perkongsian ilmu bersama beliau cukup berharga.

Tiada dalam gambar2 : Pak long , Bakso mu sungguh enak ya..semoga paklong berjaya…Amin!!

Tiada dalam gambar2 : Atiqah , kak long dan syima . semoga sukses selalu!!

DAN SAYA………..

SEMOGA TERUS BERUSAHA GIGIH MENGEJAR CITA-CITA... YA ALLAH.. KUATKANLAH HATI HAMBA-MU INI AGAR TERUS PANDANG KE HADAPAN...

SEMOGA TERUS BERUSAHA GIGIH MENGEJAR CITA-CITA... YA ALLAH.. KUATKANLAH HATI HAMBA-MU INI AGAR TERUS PANDANG KE HADAPAN...

:: Cerpen : Solusi Siswa ::

solusi siswa


Butiran salji turun begitu indah pagi ini seperti mana yang ditonton dikaca televisyen , jelas  dilihat disebalik tingkap kaca lutsinar yang menjadi penghadang bilik dan suasana luar. Suhu pada darjah 2 celcius pagi ini amat menusuk tulang didalam badan membuatkan rasa tidak selesa dan ingin saja menemui musim panas dengan cepat. Lumrah manusia , yang panas mahu sejuk dan yang sejuk mahu panas. Manusia tidak pernah puas dengan hidangan nikmat kurniaan Yang Esa.

Jika diikutkan laporan kaji cuaca , salji akan turun pada  hari sabtu namun siapa tahu ketentuan Dia , manusia hanya mampu meramal yang menentukan pastinya Dia. Permaidani putih kurniaan Allah sudah memenuhi jalan – jalan sekitar pekan Mu’tah  pada pagi yang indah ini. Alangkah hebat kuasa Allah menjadikan pekan yang asalnya sesak dan kotor menjadi taman salji yang cukup menggamit perasaan dan siapa sangka bila ia akan mencair nanti keadaan akan berubah kembali. Alangkah pantas nikmat Allah pada hambaNya untuk dinikmati.

Kelibat pelajar Melayu sudah mulai nampak di atas jalan memenuhi timbunan salji putih yang mengasyikkan dan mereka mula bergerak ke universiti untuk bermain salji sepertimana saban tahun yang dilakukan sebelum ini dan mungkin juga kerana pemandangan di sana lebih mengasyikkan lebih-lebih lagi untuk mengadakan sesi fotografi , mahu di upload ke facebook agaknya . Sungguh kuat pengaruh laman jaringan sosial alam maya itu.

Harith melihat jauh di sebalik tingkap biliknya itu , terasa berat untuk dia turun bermain salji kali ini , dia tidak pasti sama ada akan pergi ataupun tidak. Ahli-ahli rumahnya yang lain sudah bersiap-siap dengan pakaian tebal ala-ala penduduk kutub utara , semangat sungguh mereka . Salji kali ini merupakan salji ketiga buat Harith sepanjang berada di bumi Isra’ ini.

“ Harith , awat hang duk melamun kat tingkap lagi tu? Jom ikut kami pi main salji”, pekat sungguh loghat utara Izwan salah seorang ahli rumah Harith.

“Tak apa wan , kau pergilah dulu , aku rasa macam malas lah pula nak pergi”, Harith membalas sambil menguap.Tanda menolak.

“Kalau macam tu tak pa lah , kami pi dulu naa , kalau salji dah cayaq petang ni, hang yang rugi..haha”, gurau Izwan.

Harith hanya tersenyum dengan gurauan itu.

KHABAR DARI JAUH

BUZZ ,    kekotak Yahoo Messenger versi  9.0 berbunyi  serta bergerak-gerak di skrin kamputer riba Harith , ia isyarat ada seseorang yang mahu berbicara dengannya.

Perisian komputer ini mula memainkan peranan.

Shahirien_88 : Assalamualaikum sahabat di Jordan , apa khabar ? dengarnya salji turun di Jordan , wah seronoknya , kirim kat aku sama kat Malaysia ni .[ikon senyum]

Harith999 : Waalaikumsalam W.B.T , Alhamdulillah baik , Sharin lama tak dengar cerita kau , kalau boleh aku pos sekarang cuma takut cair je , baik kau main ais kat peti ais tu..hehehe. Lama benar tak dengar cerita , jarang-jarang kau tegur aku kat YM ni. Ada apa-apa ke? [ikon tanda Tanya]

Shahirien_88 : Aii , bertanya khabar pun salah ke? Hehe , yerlah , aku ni ingat kawan-kawan . Sahabat sejati la katakan. [ikon senyum]

Harith999 : yerlah tuh . Friendship Forever la sgt. Hehe.

Shahirien_88 : Ritz , ko tahu kan yang kat Malaysia sekarang sibuk sangat dengan Pilihan Raya Kampus , hari-hari aku dengar ada saja yang berlaku tentang kebangkitan mahasiswa , sampai aku pun naik semangat ni. Kat Jordan macam mana?

Harith999: baguslah tu , mahasiswa dah sedar. Kat Jordan? [ikon kurang gembira] . Susah aku nak cakap dengan kau Sharin,karang aku cerita kau pulak tak faham. Complicated.Kami tak terdedah dengan suasana macam kamu.  Bilangan pelajar sedikit , nak merasai pilihanraya kampus? Jauh sekali. Ada memang ada , tapi pilihanraya persatuan sajalah. Suasananya ada , tapi taklah sehangat Malaysia. Ko faham x?

Shahirien_88 : macam tu. Apa yang kalian perjuangkan di sana? Kebajikan mahasiswa ? prasana universiti? Kenaikan biasiswa? Keadilan pada pengurusan universiti? Di sini , inilah yang kami perjuangkan demi mahasiswa kami.

Harith999 : wah banyaknya. Tidak ada apa yang diperjuangkan sharin. Melainkan ada pangkat dan kumpul sijil bila balik Malaysia. Kebajikan siswa? Ada barangkali. Cumanya , suasana ilmu dititik berat dan ia sememangnya satu kemestian , walau tanpa persatuan sekalipun , kan itu matlamat utama dan yang lain-lain susah aku nak bicarakan.

Shahirien_88 : macam tu pula? Diskusi isu semasa ? Negara? Politik? Perjuangan mahasiswa?persiapan memasuki masyarakat? Dakwah orang muda ?

Harith999 : Ada. Dalam mimpi aku… [ ikon senyum ]

Shahirien_88 : kau tak cuba wujudkan suasana itu? Kan di kampus dulu sebelum kau ke Jordan , kau mahasiswa yang lantang dan berani.

Harith999 : Suasana yang merubah , sharin. Aku pernah cuba. Tapi , aku yang kandas. Kontroversi  banyak sangat. Lebih baik aku diam , belajar dan membawa diri.

Shahirien_88 : aku tak faham lagi , ritz. Memang sukar aku nak faham kondisi sana.

Harith999 : nak faham apa? Senang saja. Kau anggaplah jurang dalam dan luar Negara memisahkan cara kita.

Shahirien_88 : kalau macam tu , tak boleh kata apa lah. Tapi aku nak sembang banyak lagi ni dengan kau , pendapat kau penting untuk aku. Aku lupa nak bagitau , aku dah menang kerusi presiden MPP di kampus kita.

Harith999 : Tahniah!! Hebat , ko dulu seorang sahabat yang pemalu dan pendiam boleh jadi pemimpin mahasiswa. Tabiklah!

Shahirien_88 : Masa juga berubah kita , ritz.Ok lah , sampai sini dulu. Pastikan nanti  hubungi  aku ya.Banyak benda yang kita perlu diskusikan

Harith999 : Insyallah.

Shahirien_88 : wassalam . [ ikon lambai ].

Sign out.

Komputer riba dibiarkan dalam keadaan standby . Jam menunjukkan jam 11.00 pagi , tiba-tiba Harith teringin untuk keluar menikmati keindahan salji. Dia memakai pakaian tebal yang sesuai untuk bermain salji . Pintu rumah sudah dikunci. Haluannya kali ini ialah Mazar Al-janubi. Melawat dan bermain salji bersama-sama sahabat di sana dan sambil-sambil boleh menziarahi Maqam para Sahabat  Rasulullah yang turut berjuang  dalam siri perang pertama mempertahankan Islam di luar tanah Hijaz. Agak lama tidak ke pekan itu , rindu semakin menjadi.

SOLUSI ORANG MUDA

Dua hari salji sudah berlalu.Proses pencairan salji merupakan tempoh paling seksa untuk dilalui. Kesejukkannya bisa saja menjamah tulang dalam badan. Deritanya bukan main hebat buat manusia-manusia yang janggal lagi baru.Bagi Harith tempoh itu sudah sebati dengan dirinya,barangkali sudah tegar. Dia perlu ke Universiti hari itu untuk menyelesaikan urusan memperbaharui Visa pelajar untuk setahun.

Usai menyelesaikan urusan memperbaharui Visa , dia mengambil angin di bangku kosong di sebelah bangunan fakulti undang-undang dan Shariah. Dia mahu melihat pemandangan tompokan baki-baki salji di sebelah bukit sana.Sungguh indah ciptaan Allah.

“Memikirkan isu umat atau bakal isteri?” , Sapaan Irsyad dari belakang membuat Harith sedikit terkejut.

“Ish , kau ni Syad buat aku terkejut saja , tak adalah , aku saja ambil angin  sambil melihat pemandangan Indah kurniaan Allah buat manusia yang jarang bersyukur ni” , sambil tangannya memeluk tubuh untuk mengurangkan kesejukan diri.

“Mesti jauh kau mengelamun kan?  Apa yang kau fikirkan ? kongsilah , ada kebaikan bersama”, pinta Isryad yang ingin turut sama berkongsi fikrah.

“Aku rindukan Malaysia dan aku fikir tentang kita…” , dengusan kecil pada nafas Harith memecah suasana , seoalah-olah ada suatu yang terbuku di pinggir hati untuk dikongsi.

“Kau berfikir tentang realiti kita sebagai siswa timur tengah untuk mendepani Masyarakat ?”  Irsyad mengagak apa yang cuba difikirkan sahabatnya itu .

“Kau bijak menduga Syad ,  aku bangga dapat sahabat macam kau. Masih terngiang-ngiang di ingatan aku nasihat Dr.Wejdan pada kita semasa Kelas Dakwah tempoh hari . Berapa ramai para pendakwah yang  terjatuh ditimbus dunia pada hari ini? Mereka asyik berenang di tepian pantai dan tidak mahu cuba menyelam di lautan yang luas”, Harith cuba mengajak Irsyad  memikirkan falsafah disebalik perlian sang guru itu .

“Dalam maknanya Ritz..itu cabaran besar buat kita” , barangkali Irsyad faham apa yang bermain di kotak pemikiran sahabatnya itu.

Bukan sehari dia baru mengenali pemuda yang bernama Harith Ziqri ini, semenjak mereka sama-sama di kampus sewaktu di Malaysia lagi.Semasa tahun satu dulu ketika mula-mula sampai di Jordan , Harith sering menimbulkan persoalan tentang kondisi dan masalah siswa timur tengah untuk dibincangkan bersama , namun ada sahaja pihak yang memboikot dan mempersenda.Isu pergaulan bebas siswa dan siswi  serta permusafiran ke luar negeri para pelajar menjadi  kronologi tradisi setiap kali program diaadakan dan ia lebih penting dibincangkan dengan lebih terperinci hingga emosi jadi pendayungnya.

Barangkali itu yang menjadikan Harith sudah tawar hati untuk bersuara lagi.

“Jauh mana sekalipun kita berlari , kita tetap berpijak di atas bumi yang sama dan pilihan itu semua ditangan kita . Jangan menyerah Harith . Hassan Al-banna juga tidak sempat menjulang kegemilangannya ,tapi kini kau dapat lihat fikrah dan perjuangannya jadi ikutan seluruh dunia selepas dia tiada.” Irsyad  cuba memotivasi.

“Kau benar Syad , jatuh bangun kita tetap memijak di bumi yang sama. Matahari yang kita pandang juga sama cuma sang salji bukan semua mampu merasainya , mungkin ini asam garam sebuah  impian dalam perjuangan” .

Harith berusaha mengorak sebuah senyuman.

“Jika kita rasakan sesuatu perlu berubah , kita perlu usahakan jangan biarkan ia hanyut ditelan angan. Bukan semua yang menempelak , ada yang berfikiran matang dan mahu perubahan , aku sendiri akui yang kita berdua tidak mampu mendepani semua ini tapi kau harus ingat cita-cita jitu bisa menghasilkan sebuah solusi  dan jalan di depan masih belum kabur untuk itu.”

Mata Irsyad tajam melihat suasana pemandangan yang mempersonakan .

“Irsyad , aku masih ada kamu…mereka..”

Betapa keindahan rimbunan salji di puncak bukit itu mengulit pesona!

Mohd Lutfi Hafifi Japili ,
Pekan Mutah , Al-Karak – Jordan.