Puisi : Mubarak Insani

Terbit bulanmu dinanti insan,

Menyinar rahmat dari yang Esa,

Untuk hamba-Nya yang jerih menanti Kurnia,

Kurniaan agung tiada tandingnya


Detikmu sebuah madrasah Insani,

Mendidik ikhlas erti syukur,

Melatih jiwa istilah sabar,

Agar kukuh tidak tersungkur


Hawamu penuh liku-liku cuba,

Menilai redha atau haloba,

Ada yang melangkah jauh ,

Ada yang terhenti tanpa noktah


Menyeduh syukur dan doa ,

Membawa rahmat-Nya,

Menyauk keluh di timba ujian,

Mengurang kasih-Nya


Ayuh sang pencari cinta,

Kita buru sebuah Mubarak,

Biar ia mencapai berkat,

Jadikan kita manusia tuah.


Mohd Lutfi Hafifi,
Mutah, Jordan.

29  Syaban 1430 Hijrah.

Resepi : Asam Pedas Pekan Mutah

Asam Pedas Pekan Mutah!!

Assalamualaikum Semua ,

Moga sihat Wal-afiat !!

40 celcius..!!

Suhu diatas menunjukkan betapa panasnya pekan Mutah salah sebuah pekan yang terletak di wilayah Karak , selatan bumi Jordan ni. Tidak seperti tahun-tahun sudah cuaca pada tahun ini nampaknya jauh lebih panas, kebiasaannya kawasan Mutah tidaklah menerima cuaca yang panas sangat dek kedudukan di tanah tinggi berbukit bukau ni. Mungkin inilah kesan “global warming” yang semakin menjadi-jadi ini.

Dari pintu kampus nak ke kuliah umpama berjalan dalam ketuhar , kipas pun rasa panas disebabkan haba yang panas. Bila panas-panas begini , terasa rindu pula dengan musim sejuk..(hehe)

Inilah rempah dan rencah di perantauan orang. Pengalaman indah yang tidak dapat dijual beli. Laluinya dengan gembira!!

Jadi….

Hari ni saya nak berkongsi resepi dengan pembaca semua, baru-baru ini, terdetik di hati saya untuk menyediakan asam pedas ikan, hampir 2  kali juga tertangguh disebabkan bahan tiada [asam jawa] , selongkar punya selongkar rupanya asam jawa tesorok di belakang raga dapur. Akhirnya saya memulakan misi!!

Jom kita tengok bahan-bahannya [saya buat se "simple" mungkin] :

Bahan-bahan :

  1. Ikan Mackarel 3-4 ekor potong kecil-kecil (ikan jenis ini saja yang sesuai digunakan di Mutah)
  2. Daun kesum (kalau ada , saya gantikan dengan serai, nak buat macam mana itu saja yang ada)
  3. Asam keping
  4. Garam dan gula
  5. Air perahan asam jawa 1 mangkuk sederhana
  6. Air 1 jag – terpulang nak pekat atau tak sama pedas anda

Bahan-bahan yang ditumbuk/dikisar :

  1. Bawang besar 1 ulas
  2. Bawang putih 2-3 ulas
  3. Halia
  4. Kunyit hidup (jika ada, jangan guna kunyit serbuk)
  5. Cili kering yang direbus (1 genggam saja)
  6. Belacan sedikti (jika ada)

Penyediaannya :

  1. Panaskan minyak atas kuali
  2. Tumis semua bahan2 yang telah dikisar tadi hingga agak kering .
  3. Masukkan Ikan dan gaul.
  4. Masukkan Air asam jawa , air , serai dan asam keping tadi.
  5. Sesudah mendidih , masukkan gula dan garam secukup rasa.
  6. Biarkan warnya benar-benar menyala..baru ada “umphh”
  7. Selesai..sedia untuk dihidang !!

Jadi anda bolehlah sama-sama mencuba resepi ini di rumah bersama-sama kawan-kawan yang lain. Tak susah , mudah saja. Semudah ABC.. (heheh)!!

Jumpa lagi di lain resepi….

Mohd Lutfi Hafifi.

P/s : Teringat asam pedas Adabi Khairullah masa dia bergelar ahli rumah Bayt JIM.

Artikel : Dipimpin Atau Memimpin

Dipimpin Atau Memimpin
www.iluvislam.com
oleh: lutfihafifi
Editor: deynarashid

Maka apa yang anda rasa??

Setiap individu yang berfikiran waras dan matang haruslah sentiasa bersedia dan kehadapan dalam isu-isu memilih pimpinan ini, mengenal seseorang pemimpin melaui sikap, kecenderungan dan kekuatan pemimpin itu haruslah menjadi salah satu resepi bagaimana seseorang individu menilai bakal pemimpin yang mereka inginkan.

Tidak kira siapapun, kita diberi Allah S.W.T kelebihan masing-masing, samada kita diberikan kuasa selaku pemimpin, kita harus adil kepada diri sendiri dan orang dibawah kita, samada kita selaku orang yang dipimpin kita punya hak untuk menjadi rakyat yang matang dan profesional dalam menilai pemimpin kita.

Samada DIPIMPIN atau MEMIMPIN semuanya harus kembali kepada ALLAH S.W.T, yang lebih MAHA BERKUASA kepada hambaNYA.

Ramuan Memilih Pemimpin
Ada yang mengatakan kita harus memilih pimpinan yang benar-benar mengikut ciri-ciri Muslim sejati dan “Perfect”, ada pula yang berpendapat seseorang pimpinan itu haruslah bijak pandai dalam pelajaran dan ada pula yang berpendapat pemimpin itu dipilih kerana hubungannya dengan rakyat bawahan serta macam-macam lagi kaedah yang begitu subjektif untuk kita membenarkan ia sebati dan sempurna bila diadun.

Bersikap adil pada kehendak sosial haruslah difikirkan dengan lebih terbuka dikalangan kita. Menjadi “Juri” merupakan salah satu pilihan yang harus dipilih oleh kita sebelum menjadi “Hakim” terhadap pimpinan yang bakal dipilih.

Keadaan masyarakat, suasana sosial, kehendak sekeliling haruslah diambil kira dalam menilai siapakah pimpinan yang bakal menerajui sesebuah oraganisasi itu.

Silap Memilih, Hancur Bersilih

Silap menilai untuk memilih pemimpin yang terbaik seringkali menjadi kesalahan utama buat kita. Kesannya cukup-cukup terasa bila anda berada disisi pimpinan. Inilah kesilapan yang benar-benar membuatkan sesebuah organisasi itu hancur bersilih ganti, bila “warisan” ini dikekalkan dan diturunkan ia tidak mampu menjanjikan sesuatu perubahan, malah ia “menjanjikan” satu keadaan yang amat kucar-kacir.

Kerana simpati dan menjaga dasar-dasar persahabatan yang ikatannya yang dikatakan lebih dari saudara, kita sanggup menggadai kepentingan sosial yang jauh lebih utama untuk difikirkan dan dek kerana kemahsyurannya, kita kehilangan dan seolah-olah buta melihat manusia lain yang jauh lebih berbakat dan dek kerana secubit jasa yang kita pernah terima, kita tertutup minda untuk menilai pimpinan yang kita pilih dengan lebih mendalam.

Ianya jadi beban, beban yang berat bagi mereka yang merasai. Tidak dinafikan ianya cukup-cukup susah dan kritikal untuk dinilai, namun ianya satu yang subjektif untuk kita kaji serta huraikan dengan lebih terperinci siapakah pimpinan yang bakal kita pilih dan ianya bukan objektif untuk terus kita tentukan.

Itu kelebihan perkara yang subjektif. Tidak perlu tepuk dada tanya selera. “ketuk hati dan akal, selera itu pelbagai-bagai”.

“Walk The Talk”

Penghayatan pada bicaranya dan bertindak mengikut bicaranya kemudian merubah bermula dengan dirinya sendiri. Siapapun kita bila menjadi pemimpin, kaedah ini haruslah dijadikan sandaran yang terbaik dalam melaksanakan “kerja” yang diberi.

Kita haruslah berani untuk menjadi seorang yang mampu melaksanakan perubahan didalam organisasi yang diceburi. Bekerja di atas dasar “tradisi” membuatkan organisasi berada di tampuk yang lama. Statik dan susah berubah.

Berubah merupakan kunci yang cukup-cukup penting dalam sesebuah kepimpinan, ia juga merupakan salah satu perkara yang harus diambil kira oleh mereka yang dipimpin untuk merubah pimpinan yang benar-benar berjaya. Memilih pemimpin adalah kerana prinsip, falsafah dan nilai yang mereka perjuangkan untuk rakyat. Kuasa adalah amanah dan kuasa adalah tanggungjawab.

Sejarah Satu Pengajaran

Sejarah mendidik kita untuk jauh menilai sesebuah kepimpinan itu dengan lebih matang dan terbuka. Walaupun hanya diperingkat bawahan, namun nilai dan pengajaran dalam sejarah kepimpinan harus diambil kira dan dihayati.

Sejarah membuktikan keberjayaan sesuatu bangsa dan negara itu bukanlah hadir semata-semata kerana kemajuan dan kemodenan semata-mata, namun sikap moral dan sosial sesebuah bangsa yang dipimpin oleh pemimpin yang benar-benar berprinsip teguh yang menjadikan negara itu maju dan berjaya.

Apabila Saidina Abu Bakar Al-Sidiq dipilih menggantikan tampuk pemerintahan Rasulullah S.A.W, Saidina Abu Bakar berucap di tengah-tengah rakyatnya . “Saya telah diangkat menjadi ketua saudara sekalian walaupun saya bukanlah orang yang terbaik di antara saudara. Sekiranya saya berbuat baik, berikanlah pertolongan kepada saya, dan sekiranya saya melakukan kesalahan, betulkanlah kesalahanku itu. Ikutlah saya selagi saya menuruti perintah Allah dan Rasulnya, dan sekiranya saya mengingkari (perintah) Allah dan Rasulnya, saudara sekalian tidaklah patut taat kepadaku lagi.”

Konsepnya cukup cantik dan sempurna. Rendah diri dan berpegang pada prinsipmembuatkan pemimpin itu disegani rakyat dan disayangi, dek kerana keluhuran budi yang pemimpin itu miliki, negara yang asalnya “ARANG HITAM” bisa bertukar menjadi “BERLIAN MEWAH”.

Kita selusuri pula sejarah pemerintah-pemerintah yang digulingkan rakyat, semuanya kerana apa? Semuanya kerana kesalahan yang pemimpin itu sendiri tidak mampu selindungkan, dinaikkan hanya kerana kerana nama serta dilantik hanya kerana kemahsyuran, bukan pada prinsip, idea dan perjuangan demi rakyat.

Betapa hinanya Ferdinand Marcos di Filipina yang digulingkan melalui “kuasa rakyat” kerana kesilapannya menjadi pemimpin, beliau “diratah” rakyatnya kerana membencikan beliau dan inilah juga caranya Presiden Suharto terpaksa meletakkan jawatannya setelah dipaksa oleh protes popular rakyat Indonesia begitu juga kisah maharaja Syah di Iran yang dijatuhkan takhtanya akibat revolusi rakyat Iran, semuanya kerana apa?

Tanpa prinsip dan kebijakan bersosial, siapapun boleh jatuh. Kini kita sudah jauh dihadapan, warga muda haruslah memandang jauh kehadapan. Kualiti pemikiran kita yang benar-benar matang merupakan ukuran asas untuk kita menentukan dunia masa akan datang. Segala terletak di tangan kita dan di AKAL FIKIRAN kita. Tiada manusia yang sempurna, namun tidak salah mempelajari kesempurnaan. Sekadar sumbangan fikrah untuk dihayati dan didengari.

SELAMAT BERSIDANG SAHABAT-SAHABAT PERMATA!!

SEBUAH ARTIKEL SAYA DI ILI tahun lepas :

http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1810

Catatan Pendek : Kalau saya orang Palestin….

Apakah masa depan dia?

Apakah masa depan dia?

Salam Sejahtera.

Pagi tadi saya ke kedai alat tulis di pekan Mutah , Maktabah Ram untuk menyiapkan kerja-kerja yang belum habis. Sambil menunggu kertas habis dicetak, saya berbual dengan kakak yang bekerja di sana.

Dipermulaan perbualan kami saya terpegun melihat gambar tuan kedai itu berhadapan dengan kubah sakhra’ di Masjidil Aqsa, Palestin dan saya bertanya apa tujuan dia ke sana? . Menghadiri persidangan keamanan di baitul Maqdis. Terlintas di fikiran saya ” ada persidangan rupanya warga Arab ni..” . Noktah.

Saya juga menyatakan yang saya juga bercita-cita untuk kesana dan percakapan saya tiba-tiba dipotong dengan semangatnya oleh kakak itu yang dia juga berazam mahu ke sana dan mahu mati syahid di sana. Masyallah. Jarang melihat pemuda/di Arab Mutah yang peka isu ini. Sampai bercita-cita mahu syahid disana. Perbualan kami diteruskan dengan mengutuk dan menghina Israel.

Tiba-tiba…

“Mutah ni lagi baik  kan daripada  Amman? Orang sini baik-baik kan? ” , mulanya saya ingat topik ini diubah.

“ermm…yee.. duduk kat Amman kosnya mahal” , saya menjawab. Didalam hati bersetuju tentang kos, tentang arabnya, saya hanya mengukir senyuman. Itulah yang dinamakan budaya manusia.

“Di Amman ramai penghijrah Arab Palestin, mereka tak baik!!” , Kakak itu mula meluahkan bibit rasa hatinya.

“Tapi mereka orang Palestin???” , saya menyoal kembali.

“Kalau saya jadi orang Palestin, saya tidak akan tinggalkan bumi saya!!…” Tegas dan padat jawapannya.

Perbualan kami terputus.

Kertas sudah habis dicetak.

Helaian kertas yang hampir 2000 helai sudah habis dicetak.

Saya meninggalkan kedai itu dengan persoalan yang terbenak dihati.

1001  persoalan dan isu mungkin juga falsafah disebalik jawapan kakak itu saya berusaha untuk sampaikan pada pembaca semua untuk kita fikirkan bersama-sama.

Bila lagi nak perah otak fikir isu kemanusiaan kan??

Sambil-sambil tengok bola , bayangkan bola yang disepak sekuat hati itu umpama negara HARAM ISRAEL.

Sekian.

Salam Piala Dunia , Dunia Palestin jangan dilupa.

Mohd Lutfi Hafifi.

Catatan Perjalanan : Kerana Mereka Punyai Iman

"Kerana apa anakku? Kerana mereka punyai Iman...."

Perjalanan ribuan batu menyelusuri bumi penuh warna pada kali ini saya simpan sebagai sebuah kenangan yang cukup indah dengan kenangan yang memberi  1001 pengajaran yang penuh berharga buat diri ini.

Bermula dengan perjalanan dari sebuah tanah yang kering dan layu sehingga melewati bumi yang subur  serta tenang dan akhirnya melewati sempadan dua perpisahan budaya yang cukup ketara dek perjuangan pembaharuan sebuah negara intipati sekular. Perjalanan ini saya simpulkan dengan mudah, jika dibahagikan mengikut geografi ia bermula dari kawasan yang kering kontang  yang dikelilingi padang pasir sehingga saya temukan sebuah daerah nun menghijau mengubat resah dan tenat di mata. Dari Jordan melalui Syria hingga sampai di bumi Turki, sebuah bumi tinggalan kerajaan Uthmaniah.

Jika perjalanan saya diukur dengan ukuran masyarakat dan budaya ia juga membahagikan dengan penuh perbezaan yang ketara. Bermula dari bumi milik keturunan Al-Hashimie , Jordan ini yang mempunyai penduduk yang cukup sedikit hanya 5 juta orang dengan suasana masyarakatnya yang agak berbeza sikapnya dan rentak bahasa yang sedikit kasar kami tinggalkan dengan wajah warga Syria yang cukup lembut dan tenang sikap dan rentak bahasanya, namun apa yang sama adalah mereka tetap bangsa yang dinamakan ARAB.

Melewati sempadan Bab Al-Hawa di Syria seterusnya memasuki Sempadan Hatay Turki membuatkan saya sedikit  terpegun setiap kali melewati kedua-dua pintu sempadan dua buah negara ini dan ini bukan kali pertama saya melewatinya dan saya tidak pernah jemu untuk merasai dua suasana ini. Mengapa?  Kerana negara Turki begitu selesa dan terhormat menerima tetamu ke negara mereka. Lihat sajalah di Imigresen, saya dihadiahkan dengan senyuman selamat datang oleh pegawai yang bertugas. Berbeza dengan negara Arab, kebiasaannya para pelancong luar disambut dengan muka yang bengis dan perkhidmatan yang cukup “SISTEMATIK” bagi mereka.

Perjalanan hampir 24 jam termasuk transit di Antakya selama 5-6 jam membuatkan saya berasa cukup selesa dengan kemudahan yang disediakan oleh pemerintah negara sekular ini. Terkadang terlintas di pemikiran saya, yang mana lebih baik perkhidmatannya?  Yang mengaku mengamalkan dasar negara Islam atau yang sedia ada menjalankan sistem sekular? Saya abaikan sangsi di pemikiran saya itu. Paling penting ialah Islam lebih tinggi dari segalanya. Saya mengukir kesimpulan mudah, mungkin ini  bukti keberjayaan disiplin dan rentak ideologi barat yang terserap masuk ke negara dua benua ini. Itu tandanya saya kepenatan  menjadi pemikir ketika bermusafir.

KEKUATAN DALAM PERJUANGAN

Perkongsian saya pada kali ini bukanlah pada keindahan tempat yang terdapat di Istanbul ini, namun kisah segelintir masyarakatnya yang membuatkan saya tertanya-tanya sepanjang keberadaan saya disana dan hingga saat ini.

Saya cukup mengkagumi negara ini apabila mereka menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah bagi penghantaran bantuan kemanusiaan kepada insan yang tertindas di bumi sendiri di Gaza, Palestin. Kekuatan perjuangan para sukarelawan Turki mereka hingga sanggup mengorbankan diri pada peristiwa 30 mei 2010 patut dijadikan iktibar buat kita.

Mengapa?

Apa membuatkan saya kagum pada mereka ialah, walaupun sedari kecil masyarakat Turki dikunyahkan dengan sistem pendidikan sekular di mana-mana sekolah mereka menuntut, namun perjuangan segelintir daripada mereka yang cukup serius dengan Islam membuatkan saya lebih terkesima dan rasa terpegun. Jika anak-anak Malaysia yang disuap dengan sistem pendidikan yang cukup sempurna dan  terbaik dengan pendidikan Islam dan moral yang cukup baik oleh pihak kerajaan mengapa masih ramai lagi belia Islam di Malaysia tidak cakna dengan isu kemanusiaan sejagat? Persoalan yang dipulangkan pada saya juga untuk difikirkan bersama-sama anda.

KERANA MEREKA PUNYA IMAN

Pertemuan yang menghasilkan Pengajaran

Hari kedua di Istanbul, usai sahaja Asar saya dan rakan-rakan lain yang dipertemukan dengan seorang warga tua Turki yang cukup peramah dan tampak seronok bila berjumpa dengan kami, kami berbual bicara dalam bahasa Inggeris. Walaupun penguasaan tidaklah sebaik mana, namun pemahaman yang kami terima cukup baik, nampak praktikal lagi mudah dari buku.

Pakcik Murad.

Di awal perbincangan dia banyak bertanya tentang keadaan  dan suasana di Malaysia kini. Jika 15 tahun dulu dia pernah ke Malaysia dan mengatakan waktu itu tidak banyak masjid kelihatan di ibu negara dan beliau bertanya adakah hari ini masih sama? Kami menjawab , tidak. Banyak perubahan sudah berlaku , masjid-masjid tumbuh bagai cendawan dan masyarakat hari ke hari teguh mengamalkan ajaran Islam. Permulaannya beliau tidak percaya, namun saya janjikan emel untuk dihantar pada beliau gambar-gambar masjid di ibu negara kini. Beliau tersenyum.

Perbincangan disambung lagi petang itu.

“Mahukah kamu mendengar sebuah cerita?”, kami mengangguk.

“Aku suka menceritakan kisah ini kepada siapa-siapa warga Islam, tidak kira apa bangsa sekalipun, Turkish , Arab, Irish dan lain-lain, Ia kisah anak-anak muda yang tabah dan ia berlaku 25 tahun dulu semasa aku mengerjakan Haji”, Pakcik itu menambah dan memulakan cerita.

Kisahnya begini.

25 Tahun dulu ketika pakcik menunaikan haji. Suatu hari, ketika cuaca sedang tidak baik seorang sahabat telah bertandang ke rumah beliau untuk mengajaknya ke mendaki ke Gua Hira’ , namun pakcik itu amat berat untuk menerima pelawaan sahabatnya itu dan menasihati agar pergi ketika cuaca baik  tetapi sahabatnya cukup bersemangat untuk kesana hinggakan pakcik itu terpaksa  menurut pelawaan sahabatnya. Mereka mula mendaki bukit tersebut.

Setibanya di Gua tersebut , mereka agak terkejut melihat 3 orang pemuda sedang khusyuk menjalankan ibadat , ada yang berzikir dan solat. Pakcik itu memberikan salam namun tidak terjawab , hampir 10 minit baru dijawab . Setelah berbicara, barulah mendapat tahu yang 3 orang pemuda itu sudah 3 hari berada di gua tersebut dan tidak boleh turun kerana cuaca buruk. Selama 3 hari itu mereka hanya berpuasa sahaja , bersahur dan berbuka dengan air zam-zam yang dibawa. Subhanallah, itulah kuasa Allah yang memelihara hambanya yang taat beribadah , walaupun tidak ada sumber makanan semasa 3 hari namun mereka masih kuat untuk beribadah. Dengan kuasa Allah juga , kedatangan pakcik dan sahabatnya itu merupakan pertolongan Allah kepada 3 orang pemuda itu.

Diakhir perbualan, pakcik itu menyimpulkan kisah itu dengan mudah.

Pertamanya kisah 3 orang pemuda itu dikaitkan dengan perjuangan kemanusiaan sukarelwan Freedom Frotila ke Gaza, mengapa mereka sanggup berkorban? Kerana mereka punya Iman yang kuat percaya pada pertolongan ALLAH!!

Keduanya beliau menasihati kami, selaku warga muda belia Muslim, kita harus sedar dan bangkit buat sesuatu untuk Ummah dan Islam.

Perjumpaan ringkas itu kami akhiri dengan salam dan pelukan dari warga tua Istanbul ini. Terlihatnya dimatanya, pastinya dia bercita-cita dan menyimpan harapan untuk melihat kami warga muda Muslim berkhidmat dan berjuangan untuk Ummah. Insyallah.

Semoga perjalanan dan kembara saya pada masa akan datang akan didatangkan lagi dengan memori perjuangan seperti warga tua ini!!

Sehingga kini, saya masih rindukan senyuman kota tua tinggalan Uthmaniah itu.

Semoga catatan kembara ini tidak berakhir disini.

“Berjalan dan mengembaralah, anda pasti melihat 1001 wajah manusia”

Mohd Lutfi Hafifi Bin Japili,
Universiti Mutah , Jordan.

Pertemuan Bersama Aktivis LL4G di Amman

Berpeluang bersua muka,berkongsi pengalaman dan cerita bersama-sama pejuang kemanusiaan negara merupakan salah satu pengalaman yang paling berharga dalam hidup saya.  Semalam saya dan 8 orang lagi sahabat-sahabat daripada Mutah berpeluang untuk hadir didalam satu perjumpaan ringkas bersama-sama 12 peserta konvoi kemanusiaan Gaza yang baru saja dilepaskan oleh rejim zionis Israel kelmarin setelah mereka ditahan dan dipenjarakan selama berjam-jam lamanya.

Pelbagai kisah suka dan duka dapat kami kongsikan bersama para wirawan negara ini. Masing-masing mempunyai kisah yang tersendiri, sarat dengan mesej yang berharga, kami tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama mendengar kisah perjalanan mereka. Semoga ianya menjadi iktibar dan semangat buat kita untuk memperjuangkan isu-isu kemanusiaan sedari  sekarang.

Bersama-sama dengan En.Norazman dari haluan Palestin selaku ketua misi dan En Abdul Halim daripada Muslim Care.

Bersama En.Norazman (HaluanPalestin) selaku ketua misi dan En.Abdul Halim (Muslim Care). Mereka banyak memberikan kami semangat agar perjuangan dalam membebaskan bumi Palestin dari cengkaman Zionis harus diteruskan tanpa rasa lemah. Pengalaman mereka berhadapan dengan penahanan bermula dari kapal hingga ke sel penjara Israel tidak melumpuhkan semangat mereka untuk hadir sekali lagi bersama-sama konvoi kemanusiaan bagi membantu Umat Islam di Gaza.

Menemuramah Ashwad Ismail , Wartawan Astro Awani

Bersama Ashwad Ismail ,wartwan Astro Awani yang mana merupakan satu-satunya peserta konvoi  dari Malaysia yang paling muda dalam misi LL4G ini. Saya banyak berkongsi pengalaman bersama beliau. Ashwad sendiri tidak menyangka yang dia akan menyertai konvoi ini pada mulanya kerana dia hanya mendapat pengesahan tentang kehadiran beliau dalam 2 hari sebelum konvoi ini bertolak. Pengalaman yang paling tidak boleh beliau lupakan apabila berada ditengah-tengah pertempuran dan serangan yang dilakukan oleh tentera zionis diatas kapal dan beliau sendiri telah diacukan laser ke kepala dari senapang  Israel Zionis. Saya cukup mengkagumi semangat beliau yang cukup kental dan beliau tidak pernah serik untuk pergi sekali lagi jika misi ini diadakan semula. Wartawan muda seperti beliau harus dijadikan contoh pada warga muda yang lain.

Bersama dengan Dato' Sri Anifah Aman , Menteri Luar.

Menemuramah Dato' Sri Anifah Aman dan Aktivis yang lain

kehadiran Dato’ Sri selaku menteri luar telah memberikan semangat kepada aktivis-aktivis yang lain. Beliau mewakili Malaysia meluahkan rasa syukur ditasa keselamatan 12 wirawan negara ini dan pihak Kerajaan Malaysia akan sentiasa menyokong usaha-usaha kemanusiaan ini.

Kami juga berkesampatan bersama-sama dengan aktivis dr Indonesia yang turut serta dalam konvoi ini.

UCAPAN DARI WAKIL LL4G (klik link bawah)

LL4G di Amman


Wirawan-wirawan negara, kalian harus diberi pujian dan anugerah diatas semangat yang kalian tunjukkan dalam memperjuangkan isu Palestin dan kemanusiaan. Semoga kita semua dapat mencontohi perjuangan mereka.

Sekian, Salam Kemanusiaan dari saya.

Mohd Lutfi Hafifi Bin Japili.

Universiti Mutah , Jordan.

Resepi : Roti Jala Nihaei’

Roti Jala Nihaie'

Assalamualaikum semua..

Bertemu lagi kita dalam resepi dari dapur Bayt JIM. Semoga anda sihat-sihat dan ceria selalu hendaknya.

Alhamdulillah, sekarang kami di Jordan khususnya di Universiti Mu’tah sedang dalam musim peperiksaan akhir semester.

Masih dalam study week ini, kami ahli-ahli Bayt JIM telah berjaya menyediakan satu lagi juadah resepi yang saya kira cukup popular di Malaysia, roti jala.

Bersempena peperiksan akhir ini atau dalam bahasa Arabnya imtihan nihaie‘ maka kami pun menamakannya roti jala Nihaie’. Penyediaannya agak mudah dan tidaklah terlalu rumit dan yang menjadikannya rumit hanyalah perkakas acuan roti jala yang memang tiada jual di Jordan (setakat yang saya nampak). Mujurlah Epoi pinjam dengan Farid. Terima kasih Farid sekeluarga. Tahniah baru dapat Iqamah. ^-^

Jadi jom kita belajar :

ROTI JALA

bahan-bahan :

  1. Tepung gandum
  2. Telur 2 – 3 biji
  3. Mentega (kalau tak ada , ganti dengan minyak)
  4. Serbuk kunyit
  5. Garam
  6. Gula
  7. Air

Cara menyediakan :

  1. campur semua adunan diatas sampai cair sehingga boleh tembus acuan roti jala.
  2. panaskan kuali leper dan letak minyak sikit sahaja kemudian ratakan
  3. apabila kuali panas, bolehlah menjala diatas kuali itu dalam 2-3 mnit.
  4. Angkat dan boleh gulungkan diatas pingggan yang leper.

Roti jala sedap dimakan dengan kuah kari, lebih baik kari yang pekat. Jadi anda bolehlah menyediakan kuah kari mengikut citarasa sendiri. Kemudian anda bolehlah menikmatinya bersama-sama teh atau kopi sambil membaca buku.

Selamat mencuba!!

Kepada sahabat-sahabat seperjuangan, selamat menempuhi imtihan nihaie’..

Doakan saya!!

Semoga berjaya!! Bittaufiq Wa annajah!!

Dari,

Lutfi Haffi.
Dapur Bayt JIM.

Cerpen : Samudera Buat Guru

Di pintu utama kelas, kelihatan kelibat seorang wanita sedang melangkah perlahan-lahan memasuki kelas.  Wajahnya tampak tegas dan garang, walaupun pada raut wajahnya sudah menampakkan kedut-kedut tua,  namun semangat yang ditunjukkannya menampakkan dirinya tidak seperti usianya.

“Bangun!” kalam pertama menyapa pendengaran.

Kemudian disambung pula, “selamat pagi cikgu,” serentak dengan satu nafas alunannya membuatkan kelas bergema di pagi itu.

“Terima kasih,” ucap Cikgu Hamidah sambil memerhati ke arah anak-anak muridnya.

Dia memulakan langkah dari satu meja ke satu meja untuk melihat setiap seorang pelajarnya. Kelmarin dia ada memberi tugasan kepada anak-anak muridnya.  Sudah menjadi kebiasaan, dia akan memberi kerja sekolah untuk dibuat di rumah kepada murid-muridnya.  Betul atau salah kerja sekolah berkenaan, tidaklah begitu penting baginya.  Apa yang dia mahukan, anak-anak muridnya patuh kepada arahan.  Mengikut arahan yang diberi oleh guru membuktikan anak muridnya seorang yang berdisiplin.  Disiplin itu amat penting.

“Kerja sekolah yang saya beri kamu dah siap?” tanya cikgu Hamidah serius.

Pelbagai reaksi timbul pada setiap wajah pelajar.  Kelam kabut anak-anak murid mengeluarkan buku latihan matematik. Ada yang buat tidak kisah dengan pertanyaan cikgu Hamidah.  Ada yang  berpeluh dingin. Terutamanya Samad.  Masakan tidak berpeluh dingin! Kerja sekolah tidak dibuatnya.  Habis aku kali ini, bisik Samad di hati.

“Samad, kerja sekolah kamu sudah siap?” tanya cikgu Hamidah sambil memandang ke arah Samad dengan serius.

Wajahnya didongak sedikit dan matanya mengecil memerhati Samad.  Samad orang pertama yang disapa.  Memang sengaja dia menyapa Samad terlebih dahulu. Dia tahu, Samad tidak pernah membuat kerja sekolah.  Petang kelmarin dia sendiri nampak Samad bermain layang-layang di depan rumahnya.

“Err..cikgu, semalam saya tertidur, tak sempat nak buat,” tergagap-gagap Samad memberi alasannya.  ‘Ya Allah… janganlah cikgu denda aku…’ Samad berdoa di dalam hati memohon agar cikgu Hamidah tidak mendendanya. 

“Apa yang kamu buat dirumah? tidur saja kah?” herdik cikgu Hamidah.  “Petang semalam, cikgu nampak kamu main layang-layang. Oooo main kamu boleh buat! Kerja sekolah tak boleh ya?” sambungnya lagi sambil membelek-belek buku milik Samad.

Samad hanya mampu mendiamkan diri.  Hatinya kecut apabila dimarahi.  Herdikan cikgu Hamidah boleh membuat jantungnya berdegup kencang bagaikan mahu gugur.  Dia sungguh tidak berani untuk bertentang mata dengan cikgu tua itu.  Itu bukanlah pertama kali dia dimarahi.  Malahan sudah berbakul-bakul.  Namun dia masih tidak mampu berbuat apa.  Dia terpaksa menerimanya.

‘Bila aku main layang-layang? Hmm… kenapalah garang sangat cikgu ni? Ini mesti dia nak denda aku.  Mesti ni… mesti ni…’ kata Samad kepada dirinya.

“Nah ambil buku kamu ni! Buat latihan yang saya bagi di atas padang sana sambil berdiri!” bentak Cikgu Hamidah keras lalu menghempas buku latihan di meja Samad sambil tangan kirinya menunjuk ke arah luar tingkap.

Itulah denda buat Samad yang tidak menyiapkan kerja sekolah.  Cikgu Hamidah memang tegas terhadap murid-murid yang tidak mengikut arahannya.  Sesiapa saja yang degil dan enggan mengikut arahannya akan mendapat denda.  Ada kalanya, Cikgu Hamidah terasa serik untuk menghukum anak-anak muridnya.

Tersentak Samad apabila buku latihan dihempas ke atas mejanya.  Tidak mampu untuknya mendongak memandang wajah cikgu Hamidah yang garang itu.  Perlahan-lahan dia mencapai buku dan mengeluarkan kotak pensil lalu melangkah gontai menuju ke pintu.  Tidak sanggup dia memandang wajah cikgu yang bengis tidak berkelip-kelip mata memerhati langkahnya itu.

Samad akur dan terus ke padang.  Di hatinya timbul kesal kerana tidak membuat kerja sekolah.  Kalaulah dia punyai masa untuk membuat kerja sekolahnya, pasti dia akan buat.  Samad ingin belajar.  Dia ingin menjadi seorang yang berjaya.  Tapi, dia juga perlu membantu ayahnya serta menjaga adik-adik.  Tibanya malam, tentunya dia sudah kepenatan dan tidak mampu menyiapkan kerja sekolah.

Di hari yang lain.

“Murid-murid hari ini saya nak lihat kerja sekolah yang saya beri…  haa… Samad kerja sekolah kamu bagaimana?” tanya cikgu Hamidah.  Dia sedia maklum akan kedegilan Samad yang tidak melaksanakan tanggungjawabnya dalam membuat kerja sekolah.

Samad mendiamkan diri lalu tunduk.

“Samad! Kamu dengar tak apa yang saya cakap ni!!” herdik cikgu Hamidah dalam nada yang keras dan serius.

Gema suara herdikan itu menyebabkan murid-murid tergamam dan kelas menjadi sunyi sepi.

“Sa sa saya tertidur cikgu…” jawab Samad tergagap kerana ketakutan.  Peluh dingin sudah berteritik di dahi.

Zapp!!!

“Aduhh !”  Samad mengaduh sambil menahan kesakitan.

Satu libasan rotan hinggap ke punggungnya membuatkan dia kesakitan.   Samad mengusap punggungnya menahan sakit yang bagaikan hendak tercabut kulit dari isi punggungnya itu.

“Apa nak jadi dengan kamu ni? Datang sekolah lambat, dalam kelas kamu tidur, sekarang kamu keluar! Berdiri di padang sana!” Cikgu Hamidah menunding jarinya ke arah padang.  Panas hatinya dengan sikap Samad yang terlalu degil itu.

Kampung Pantai Sebiru.

Fajar yang baru menyinsing, menyinarkan awal pagi yang masih dingin.  Burung-burung yang mula keluar mencari rezeki berkicau di pelepah daun kelapa yang melambai-lambai ditiup sang bayu.  Suasana di kampung  tepian pantai tenang dan selesa.  Kelihatan anak-anak kampung begitu riang berlari-lari berkaki ayam bermain sesama mereka sambil menikmati udara samudera yang nyaman itu.

Di jeti, para nelayan sudah mula melabuhkan kapal-kapal kecil mereka setelah semalaman di laut.  Mereka sibuk sekali memunggah peti-peti yang berisi hasil tangkapan malam tadi.  Ada yang sedang membetulkan pukat untuk disulam mana-mana tempat-tempat yang sudah terkoyak . Para pemborong sudah setia menanti sahabat-sahabat nelayan mereka membawa hasil tangkapan, sejak awal tadi.

“Kau tak pergi sekolah hari ni Samad?” tanya ayahnya, pak Said yang baru sahaja pulang dari laut.

Samad sedang sibuk menjemur ikan kering di ampaian khas yang dibuat oleh ayahnya di hadapan rumah.

“Pergi ayah, lepas saya jemur ikan kering ni, saya terus ke sekolah,”  jawabnya.  Dia   masih menyambung kerjanya. “Oh ya… adik-adik, saya dah hantar ke rumah makcik Jamilah, lepas sekolah saya akan ambil mereka,” sambungnya lagi.

Walaupun baru berusia 12 tahun, Samad punyai tanggungjawab yang besar.  Semenjak ibunya meninggal dunia akibat penyakit kanser payudara pada tahun lalu, dialah yang menjaga adik-adiknya seramai tiga orang itu.  Keperitan hidup, mengajarnya untuk berdikari.  Dia tidak seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya, hidup senang tanpa perlu memikirkan kesusahan dan keperitan hidup.

“Kamu lambat datang lagi?” tanya Majid, sahabat baik Samad yang juga merupakan kawan sekampungnya.

“Nasib baik cikgu Hamidah tak masuk kelas lagi, kalau tidak habis kamu berdiri di tengah padang lagi,” Majid mengingatkan Samad.

“Kau bukan tak tahu, aku macam mana…” Samad menutup perbualan.

“Bangun, selamat pagi cikgu..” Kelas 6 Sentosa bergema di pagi itu.

“Murid-murid, pihak sekolah akan mengadakan sambutan hari guru, pada bulan hadapan, saya mahukan wakil dari kelas ini untuk membuat persembahan nanti, kamu ada cadangkan sesiapa?” tanya cikgu Hamidah pada anak-anak muridnya.

“Majid, cikgu,” Sofi mencadangkan.

“Dia pandai menyanyi, hari-hari saya lihat dia menyanyi, kalau cikgu tiada dalam kelas mesti dia menyanyi, macam Akademi Fantasia pulak kelas kita ni,” gurau Sofi.

Sofi merupakan ketua kelas 6 Sentosa berseloroh membuatkan satu kelas tergelak. Muka Majid berubah merah kerana malu.

“Kalau macam tu, kamu lah yang akan buat persembahan ya…” cadang cikgu Hamidah .

Majid hanya tersenyum tanpa sebarang bantahan.

“Baiklah kelas, sekarang ni saya nak lihat kerja sekolah yang saya berikan semalam.”

Seperti biasa cikgu Hamidah pasti akan mencari Samad, di hujung kelas Samad tertidur, kepenatan agaknya.

“Samad!!” jerit cikgu Hamidah dalam nada suara yang paling tinggi.

Guru-guru di kelas lain, sudah kenal benar akan suara itu.  Kalau tidak kerana dia memakai tudung, sudah pasti kelihatan urat lehernya yang tegang ketika menjerit memanggil Samad tadi. Wajah yang tadinya ada sedikit senyuman tiba-tiba bertukar menjadi bengis. Cikgu Hamidah sudah naik angin.

Samad terkejut dan terus terbangun.

Pang!!

Agak kuat juga tamparan yang cikgu Hamidah berikan kepada Samad.

“Kenapa kamu ni teruk sangat? Saya menyesal dapat anak murid macam kamu! Kurang ajar dan tidak tahu menghormati guru! Saya nak kamu keluar dari kelas saya sekarang dan saya tak nak lihat muka kamu lagi!!” bentak cikgu Hamidah.

Dia benar-benar marah. Cikgu Hamidah memang tegas dan garang orangnya.

“Majid, aku memang budak tak berguna,” Samad memulakan perbualan memecah ketenangan bunyi ombak di Pantai Sebiru.

“Kau jangan cakap macam tu Samad, cikgu mungkin tak faham bagaimana keadaan kau, sekarang ini, hanya aku sahaja yang tahu kau bagaimana,” Majid cuba mententeramkan keadaan.

Samad menangis, dihatinya timbul rasa hiba dan sayu mengenang dirinya yang sering dirundung malang.  Masing-masing senyap sambil melihat kumpulan ombak yang tidak henti-henti memukul sang Pantai Sebiru.

Sudah hampir seminggu Samad tidak menghadirkan diri ke sekolah.  Cikgu-cikgu yang lain tertanya-tanya ke mana perginya Samad?  Namun bagi cikgu Hamidah, dia seolah-olah tidak mengambil peduli tentang ketiadaan Samad di dalam kelas.

“Puan hamidah, kamu guru kelas 6 Sentosa kan? Tahu ke mana perginya pelajar bernama Samad? Sudah hampir semiggu dia tidak hadir ke kelas saya,” tanya cikgu Radzi kepada cikgu Hamidah.

“Budak tu memang pemalas, selalu saja datang lewat dan tidur di dalam kelas,” rungut cikgu Hamidah.  Marahnya mungkin masih belum reda.

Suasana di dalam kelas agak bising kerana kelas masih belum bermula. Di hujung tempat duduk Majid, berlaku sebuah perbincangan di antara Majid, Sofi dan Ah Leong.  Perbincangan mereka nampak serius seolah-olah membincangkan sesuatu yang penting.

“Majid, kau tahu tak kemana perginya si Samad?” soal si Sofi dalam kerisauan.

“Aku pun dah seminggu tak nampak dia, rumahnya juga macam tiada orang, selalu bila waktu petang dia rajin ke tepi pantai dekat rumah aku untuk mengambil angin, tapi sejak seminggu ni tak ada pula aku nampak,” balas Majid.

“Tapi semalam dia datang kedai ayah saya, beli peralatan nelayan, ayahnya suruh barangkali. Tapi aku tak sempat bersembang dengannya.” beritahu si Ah leong.

“Hairan juga ya…” Majid mencelah.

Mereka berpandangan sesama sendiri, di wajah mereka tampak risau dan kehairanan.

“Majid,  lusa ni dah sambutan hari guru, kamu dah bersedia nak buat persembahan tu ke?” tanya Sofi mengubah topik perbualan.

“Insyallah, eh! Ah Leong kau pandai main gitar kan? Nanti kau mainkan untuk aku ya,” pinta Majid.

“Okey , kawan-kawan tak ada hal punya,” Ah Leong bersetuju.

“Habis tu aku nak jadi apa?” Sofi juga mahu turut serta.

“Haa… Sofi kau jadi pengurus kami lah, kau kan pengurus artis,” gurau Ah leong.

Mereka bertiga ketawa sesama sendiri.

Selepas asar, Majid mahu mengambil angin di pantai berhadapan rumahnya.  Tiba-tiba dia ternampak Samad, dengan segera dia mendapatkan Samad.

“Samad, mana kau pergi? Dah seminggu aku cari,” Majid beriya-iya menanyakan soalan pada Samad.

“Majid, aku dah berhenti sekolah,” jawab Samad.  Wajahnya tampak tenang tetapi riaknya sedih.

“Kenapa ?” Majid bertanya.  Dia semakin hairan.

“Ayahku, dia tidak mampu lagi nak menanggung perbelanjaan persekolahan aku dan aku memutuskan untuk mengikut ayah ke laut,” jawab Samad dalam nada sedih.

Majid hanya diam.  Dia sedih mendengar penjelasan sahabatnya itu dan amat bersimpati.

“Memang aku nak jumpa dengan kau Majid, aku tahu esok kan hari guru, aku nak kau berikan surat ini untuk cikgu Hamidah.  Aku tak ada hadiah nak diberikan kepadanya,” Samad mengeluarkan sehelai kertas lusuh dari dalam kocek seluarnya.

“Apa ni Samad?” tanya Majid.

“Sekadar luahan hati aku pada cikgu Hamidah.  Aku tuliskan sajak untuknya,” balas Samad tenang dan berterus-terang.

Majid memeluk Samad,  kali ini dia benar-benar sedih dengan keluhuran hati Samad.  Mereka menangis. Pantai Sebiru menjadi saksi.

Hari persembahan untuk sambutan hari guru sudah tiba. Majid akan membuat persembahan.

“Kau dah bersedia?” tanya Ah Leong dan Sofi.

“Hari ni aku tak menyanyi, aku bersajak.  Tapi Ah Leong, kau main gitar juga ya untuk aku,” balas Majid.

“Kenapa tukar plan?” Sofi kehairanan.

Majid menunjukkan kertas lusuh yang diberikan Samad padanya.

“Hadiah untuk cikgu Hamidah daripada samad,” Majid tersenyum senyum.  Namun senyumannya nampak duka.  “Samad dah tak sekolah lagi, dia ke laut dengan bapanya,” sambungnya lagi dalam nada pilu.

Suasana menjadi sepi. Masing diam tidak bersuara.

“Baiklah, mari kita bersiap,” Majid menutup suasana itu .

Persembahan tinggal lagi setengah jam.

Di atas pentas.

“Assalamualaikum, saya Majid dan di sebelah saya Ah Leong, hari ini kami akan menyampaikan sebuah sajak yang bertajuk, “Samudera Buat Guru”, sajak ini di tulis khas oleh sahabat kami yang bernama Samad.”  Majid memulakan bicaranya.

“Sajak ini ditujukan untuk guru-guru Sekolah Kebangsaan Seroja, terutamanya kepada cikgu Hamidah…” Ah Leong menambah.

Seluruh dewan memberikan tepukan gemuruh.  Timbul pula rasa hairan pada cikgu Hamidah.

‘Sajak untuk aku?’ ujar cikgu Hamidah lirih kemudian duduk diam dan juga ingin tahu.

Ah Leong mula memetik gitarnya dengan perlahan, sayu rentaknya.

“Sajak ini kutujukan buat guru-guruku yang tersayang, ampunan maaf juga buat kalian kerana saya pelajar yang malas dan tidak menghormati kalian. Kalian juga tidak perlu risau lagi dengan anak muridmu yang tidak berguna ini , saya hanya akan ke laut sahaja selepas ini, namun saya juga teringin seperti anak-anak murid yang memberi hadiah buat guru yang disayangi sempena hari yang berbahagia ini, tidak mampu saya berikan hadiah yang mahal-mahal, cumanya sebuah sajak …khas untuk guru-guruku terutamanya cikgu Hamidah”

Majid membaca isi surat tersebut.  Kemudian meneruskan bacaan sajak.

SAMUDERA BUAT GURU

Pantai hari ini nampak tenang
Tiada gelora, tiada ombak yang garang
Melihat laut yang jauh itu
Umpama melihat ibu yang tersayang

Pada pantai aku melepas rindu
Pada pantai juga aku menangis
Pada ombak ku kirimkan cinta
Pada dunia lautan itu

Guruku ,
Sayangnya aku pada kamu
Umpama lautan yang luas itu
Jasamu umpama samudera
Memberi sebuah kisah cinta pada manusia

Guruku,
Aku anak laut
Laut dan pantai duniaku
Ia juga masa depanku
Ia warna dalam hidupku.

Guruku,
Kasihmu ku anggap ombak
Ombak tenang di bibir pantai
Jasamu juga ku anggap ombak
Ombak yang garang dan banyak memukul pantai

Guruku,
Budimu ku anggap air di laut
Tak pernah kering dan mati
Walau kita nampak jauh
Namun kita dekat pada hati

Guruku,
Jika dosa telah aku lakukan
Restu dan maafmu aku dambakan
Jika hatimu luka
Selautan ampun ku pohonkan

Hari ini dan esok
Aku akan terus melihat samudera luas ini
Dan sampai bila-bila
Samudera ini hadiahku buat guru-guru…

Ada air mata jernih mengalir di pipi para hadirin yang mendengar, Majid teresak-esak mengungkap bait-bait sajak. Ah leong semakin sedih rentak gitarnya. Cikgu Hamidah tidak dapat menahan sebaknya.  Air matanya bercucuran deras membasahi pipi.  Terlalu deras.   Dia teringatkan Samad.  Anak muridnya.  Hatinya Terusik, sesuatu perlu diubah dan berubah.

******************

Nota :

1. Samudera buat guru ini merupakan cerpen yang mula-mula saya tulis dan cerpen ini merupakan cerpen yang telah memperkenalkan saya kepada dunia penulisan. Terima kasih puan Zara Aluwi di atas kritikan dan pembaikan cerpen ini. Beliau juga selaku mentor pertama saya dalam dunia cerpen ini.

2. Bersempena hari guru ini, saya ingin ucapkan selamat hari guru kepada semua guru-guru yang pernah membimbing saya dari saya  Tadika hinggalah sekarang. Ramai para guru yang masih terpahat didalam nostalgia saya kecil hingga kini, cikgu Zaleha, Lau se’ di tadika, cikgu aAsnidah, cikgu halipah, cikgu Masning, cikgu Dayang, ustaz fakhrudin, ustaz Badrul samat, Umi saleh, ayah Saleh, ustaz Maarof, ustaz Zakaria, ustazah wahidah, ustaz azam, Ustazah Syarifah Hamadiah, Ustaz Daud, Ustaz Zaidin, serta ramai lagi guru-guru yang pernah membimbing saya, walaupun nama kalian tidak tercatat, jasa dan budi kalian tidak akan saya lupakan sampai ke mati. Para pembaca, sedekahkan Al-fatihah juga buat beberapa orang guru saya yang telah pergi menemuiNYA, diantaranya Allayarhamah cikgu Hamidah (guru sejarah yang saya sayangi), Ustaz fauzi naim( guru pendidikan syariah Islamiah)  dan Ustaz Abdullah Jabal (guru Balaghah).

3. Sesungguhnya seorang guru merupakan manusia mulia yang harus kita hormati. Walaupun hanya ABC yang diajar, namun dengan ABC itulah menjadikan kita manusia berilmu dan berjaya!

4. Para guru di Malaysia teruskan berbakti pada anak-anak watan!

Sekian,

Salam sayang buat semua guru-guru!!

Ikhlas dari anak murid kalian,

Mohd Lutfi Hafifi Bin Japili,
Mutah, Jordan.

Puisi : Bukan Hanya Kerana Al-Nakba

Bukan Hanya Kerana Al-Nakba

BUKAN HANYA KERANA Al-NAKBA

Ledakan bunyi bala sang laknat
Meninggalkan mereka dengan satu sejarah
Catatan pada tinggalan puing – puing tangisan
Para kudrat sang manusia yang menanti harapan

Bukan sesekali , Bukan kadangkala
Namun Ianya mengejar bak ribut kejam
Bergerak tidak kenal siapa – siapa
Setiap langkah , setiap detik
Tanpa perlu sebuah penantian

62 tahun yang berlalu ini
Sudah mampu mencipta kitab sejarah tragis
Coretan kisah duka anak watan mulia
Terhina di bumi milik sendiri

Walau ribuan timbunan lembar perjanjian kedamaian
Walau ratusan kemuncak sidang keamanan
Ianya tidak mampu mengubat sang luka
Jutaan generasi watan yang tersiksa pedih

Sehingga saat ini..
Mereka masih lagi mengharap sebuah kebebasan
Walau ianya hanya sebuah makna
Dari kita wahai sang pejuang
Yang hanya leka memerhati tarikh kenangan

Bukan hanya kerana Al-Nakba!!

Mohd Lutfi Hafifi Bin Japili
Bumi Tinggalan Syuhada’ (Mutah).

Nota Tentang Al-Nakba : KLIK  SINI


Angin Selat Untuk Bonda di Berita Harian : Hadiah Hari IBU!!

Petikan dari cerpen :

“Ibu mana yang tidak sayangkan anak Aidil, hatta binatang sekalipun pun sayangkan anaknya. Tapi bagi aku mungkin ibu kandungmu terdesak di antara rasa bersalah dan malu pada diri sendiri. Manusia Aidil, kita tidak akan sempurna sampai bila-bila, sering saja dibuai dosa dan aku rasa jika ibu kandungmu masih ada, pastinya dia mahu berjumpa denganmu, Kita harus memohon pada Allah” Ahmet menyuarakan isi hatinya.

“Sesungguhnya keinsafan itu akan datang bila kita benar-benar mencarinya, doa seorang anak itu pasti dimakbulkan jika kau benar-benar meminta pada Allah ….” Aidil menambah lagi. Aidil hanya diam seribu bahasa cuba mendalami butir-butir perkataan dari Ahmet.

“Aku akan cuba Ahmet, hati ini rindukan seorang ibu yang benar-benar ibu, aku akan cuba kuatkan diri aku ini dan aku sedar bukan aku sahaja yang bernasib sebegini,” Aidil menguatkan hatinya untuk cuba menerima kenyataan. Air matanya pecah lagi, namun linangan kali ini penuh dengan pengertian.

“Benar Aidil , bukan kau sahaja yang bernasib sebegini. Kau harus pulang Aidil, sudah masanya kau perlu berbakti pada tanah airmu. Kesedaranmu perlu untuk anak-anak bangsamu yang semakin leka dan alpa kini. Pulanglah dan curahkan kesedaran pada mereka agar tidak terlambat mencari jalan kebahagiaan hidup yang sebenar,” Ahmet cuba menasihati Aidil yang dia harus punya kesedaran tentang masalah kebejatan akhlak anak bangsanya yang semakin teruk ini. Dia harus mengubah agar tiada lagi anak yang senasib dengannya.

Angin Selat Untuk Bonda – KLIK
9 Mei 2010 , Berita Harian.

Alhamdulillah , Bersyukur pada Allah atas kurnianya cerpen ini disiarkan di Berita Harian. Sesungguhnya ini ialah hadiah hari ibu dari saya di kejauhan ini buat Mama dan bapa saya yang berada jauh dimata namun dekat di hati.

Penghargaan terima kasih juga buat Puan Zara Aluwi penulis novel ‘Tidakkah ada rindu’ dan ‘belahan jiwa’ merupakan guru dan mentor saya dalam bidang penulisan. Beliau banyak membantu dan mengkritik untuk memperbaiki penulisan saya . Terima kasih Makcik Zara!!

Penghargaan juga buat Bro Hilal Asyraf , sahabat dan guru saya dalam bidang cerpen ini. Terima kasih sudi ke Mutah tempoh hari memberikan tips-tips penulisan yang sangat bermanfaat. Semoga KKIJ (Karyawan Islam Jordan) kita terus menyinar dan maju di di Jordan.

Penghargaan juga buat Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) yang banyak berkongsi maklumat dan info yang sangat bermanfaat buat saya dan semua ahli-ahli. Semoga terus suksess dan berjaya. Walaupun saya hanyalah ahli yang pasif, namun saya sentiasa mengikuti perkembangan kalian. Kak Rebecca Ilham dan Abg Fahd Razy di GKLN, penulisan kalian sememangnya saya kagumi dan menjadikan ianya inspirasi.

Buat Berita Harian terutamanya Editor Sastera, terima kasih saya ucapkan diatas kesudian kalian menerima karya saya.

Saya akui , masih banyak cacat dan cela dalam penulisan ini. Insyallah, saya akan cuba memperbaiki lagi penulisan untuk menjadi yang terbaik. Komen-komen dan kritikan para penulis amat saya inginkan.

Sekian,
Jazakallah Khairan Khatira.

Mohd Lutfi Hafifi ,
Mutah , Jordan.