PERKONGSIAN : TUHAN KAN ADA!

** Artikel asal saya di http://kreatifmuslim.com/2017/03/20/tuhan-kan-ada/

TUHAN KAN ADA!

“Anfangen ist leicht, beharren eine Kunst ”

Memulakan itu mudah, meneruskan itu Seni

e192b88a-e938-44f7-84cf-841a7bcd0f59

Apabila bercerita tentang Eropah, pastinya akan terbayang tentang indahnya kota-kota lama dan unik disetiap pelusuk benua ini, malahan dengan cuacanya yang berbeza dari negara kita membuatkan siapa sahaja mahu melancong ke benua ini. Lihat sajalah salji yang menggunung indah ketika musim sejuk, pasti ramai yang mahu menjiwai pemandangan gunung – gunung indah  Eropah ! , Bila tiba musim bunga, mulalah terbayang kecantikan bunga tulip dan kebun bunga yang mengasyikkan pandangan mata. Syurga dunia barangkali !

Tetapi, bukan cerita keasyikan yang saya mahu kongsikan, malah ini cerita kembara hidup  yang pastinya setiap dari mereka mempunyai pengalaman yang tersendiri, tidak kiralah manis atau pahit semuanya memberi makna yang cukup berharga dalam diri mereka. Sepertimana cerita yang saya mahu mulakan ini, sebuah perkongsian sejenak pengalaman anak rantau yang berada di negara orang, melalui jalan cerita hidup dan unik.

BERLIN , KOTA TANDA PENYATUAN. CERITA ORANG KITA.

Hari ini sudah masuk seminggu saya tinggal di Kota Berlin ini, dari kisah kota yang penuh bersejarah dengan tembok perpisahan  Jerman timur dan Jerman barat yang penuh dengan bekas coretan dedikasi dan suara orang Jerman membuatkan saya terus berfikiran, walaupun sudah mencecah 28 tahun tembok itu dirobohkan dengan semangat perpaduan , negara ini segera membangun dan membina namanya dengan gemilang ke seluruh dunia dan hari ini Jerman antara negara dalam kesatuan Eropah yang cukup disegani di mata dunia.

Sejarah satu hal yang kompleks untuk dibicarakan, dari pengenalan kita dalam bab sejarah Industri Jerman dalam buku Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sehinggalah bahan bacaan tinggi sejarah Nazi Jerman dan diari Berlin  tulisan William L.Shirer, Wartawan kelahiran Illinois, Amerika akan membuatkan kita duduk mendagu mencabar satu persatu kronologi negara berbahasa asing ini.

Cukuplah dua perenggan tentang sejarah, risau bacaan terus tamat.

Namun, tulisan kali ini adalah tentang kisah tidak sengaja kami dan pertemuan yang saya kira dirancang sebaiknya dengan takdir yang Esa. Hampir seminggu di Kota Berlin, kami mula mencari kalau – kalau ada restoran selera Melayu di sini, jangkaan awal tiada, namun kalau sudah namanya jodoh ditambah pula dengan bantuan aplikasi media sosial Instagram dan Facebook, kami berjaya menemui satu-satunya restoran Melayu Malaysia di Berlin yang dinamakan Seri Melayu Berlin di Stuttgarter Platz berdekatan dengan U-bahn yang sehala dengan tempat tinggal kami.

Sedang kami seronok menikmati juadah Melayu di sini, kami disapa oleh seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Adik pemilik restoran Seri Melayu Berlin, dari gaya ceritanya terhadap restoran ini, dia juga merupakan antara pengasas bersama restoran ini. Dari pertemuan sejenak, perbincangan kami berlangsung hampir dua jam.

BONDA SAPIAH OTHMAN, ORANG JOHOR KOTA BERLIN

6663219c-1081-4e3b-b46a-c5dca63b8d4c

Dari cerita Restoran ini dibuka bermula oktober 2016 sehinggalah kami bercerita tentang kerinduan Tanah Air , semuanya dianggap satu takdir yang begitu unik dan ketetapan yang sukar disangka-sangka. Saya gelarkan saja beliau Bonda sesuai umurnya dengan ibu saya di Malaysia.

Bonda mula berhijrah ke kota Berlin dari Johor pada tahun 1988 dan mempunyai pengalaman yang cukup berharga di negara tembok ini , berkahwin dengan orang tempatan membuatkan bonda lebih mahir dan fasih berbahasa Jerman.

Apa yang saya lihat dan mahu kongsikan adalah bagaimana tuturnya begitu Indah dan sering menjadikan Allah sebagai tempat bergantung.

Katanya, membuka restoran Melayu di Kota Berlin ini bukan keputusan yang mudah, apa lagi memikirkan pelanggan. Nasib Restoran Melayu di Jerman tidak seindah di kota London yang penuh dengan warga kita, malah Seri Melayu Berlin perlu sedia menerima kunjungan sesiapa sahaja yang bukan orang Malaysia. Tak ramai orang Malaysia di Berlin berbanding dengan negeri lain di Jerman katanya.

Alhamdulillah, hampir 6 bulan beroperasi, Seri Melayu Berlin masih setia disini. Setiap hari ada sahaja yang datang. Semangat mereka untuk memperkenalkan citarasa Malaysia satu perkara yang harus kita hargai.

ILMU DAN PENGALAMAN DARI KULIAH AGAMA BAHASA JERMAN

Saya sempat bertanya kepada Bonda tentang isu Islamophbia di Jerman lebih – lebih lagi isu persepsi dunia Islam kini semakin menjadi-jadi dikalangan masyarakat barat dan  melalui pemerhatiannya masyarakat Jerman agak kuat dengan rukun demokrasinya yang menghormati, namun dari sudut persepi lain, beliau hanya tersenyum dan  jawapannya sangat ringkas dan mudah, Allah kan ada !

Namun dari sudut lain, masjid, restoran halal dan komuniti Islam disini diterima dengan baik, malah saya percaya masing – masing berperanan membawa nama baik. Selalunya yang mengecewakan itu sikap manusia, bukan pada lencana agamanya.

Bonda Sapiah juga berkongsikan kepada kami bagaimana kisahnya mengikuti kelas pengajian Islam disini, mahu mencari kuliah dalam bahasa Melayu , jauh sekali. Mujurlah ada komuniti Islam Jerman yang melaksanakan kuliah Akidah dan Fekah dalam bahasa German dengan seorang guru dari Algeria.

Bagi beliau, kewajipan menuntut Ilmu haruslah dicari walaupun susah, bekalan yang dibawa nanti harus lebih baik dan sempurna. Saya mengkagumi kesungguhan Bonda Sapiah dengan cerita kelas agamanya. Dalam usia mencecah 55 tahun, beliau terus gigih melalui kehidupannya sebagai anak rantau di bumi Berlin ini.

Masih terlalu awal saya menyimpulkan cerita – cerita unik dari Kota Berlin ini, pastinya ada lagi yang bakal dikongsikan untuk pembaca.

Dalam kembara, saya hanya tertanya – tanya dan berdoa sehingga percaya Jika magis sentiasa menjadi Rahmat !

Salam Rantau,

Lutfi Hafifi,

Neukölln – Berlin.

 

Nota : Kisah Seri Melayu Berlin juga akan keudara di Rancangan Kongsi Berita, TVAlhijrah dalam segmen Lensa akan datang.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply