CERPEN : SAMUDERA BUAT GURU

Oleh : Mohd Lutfi Hafifi Bin Japili

Di pintu utama kelas, kelihatan kelibat seorang wanita sedang melangkah perlahan-lahan memasuki kelas.  Wajahnya tampak tegas dan garang, walaupun pada raut wajahnya sudah menampakkan kedut-kedut tua,  namun semangat yang ditunjukkannya menampakkan dirinya tidak seperti usianya.

“Bangun!” kalam pertama menyapa pendengaran.

Kemudian disambung pula, “selamat pagi cikgu,” serentak dengan satu nafas alunannya membuatkan kelas bergema di pagi itu.

“Terima kasih,” ucap Cikgu Hamidah sambil memerhati ke arah anak-anak muridnya.

Dia memulakan langkah dari satu meja ke satu meja untuk melihat setiap seorang pelajarnya. Kelmarin dia ada memberi tugasan kepada anak-anak muridnya.  Sudah menjadi kebiasaan, dia akan memberi kerja sekolah untuk dibuat di rumah kepada murid-muridnya.  Betul atau salah kerja sekolah berkenaan, tidaklah begitu penting baginya.  Apa yang dia mahukan, anak-anak muridnya patuh kepada arahan.  Mengikut arahan yang diberi oleh guru membuktikan anak muridnya seorang yang berdisiplin.  Disiplin itu amat penting.

“Kerja sekolah yang saya beri kamu dah siap?” tanya cikgu Hamidah serius.

Pelbagai reaksi timbul pada setiap wajah pelajar.  Kelam kabut anak-anak murid mengeluarkan buku latihan matematikAda yang buat tidak kisah dengan pertanyaan cikgu Hamidah.  Ada yang  berpeluh dingin. Terutamanya Samad.  Masakan tidak berpeluh dingin! Kerja sekolah tidak dibuatnya.  Habis aku kali ini, bisik Samad di hati.

“Samad, kerja sekolah kamu sudah siap?” tanya cikgu Hamidah sambil memandang ke arah Samad dengan serius.

Wajahnya didongak sedikit dan matanya mengecil memerhati Samad.  Samad orang pertama yang disapa.  Memang sengaja dia menyapa Samad terlebih dahulu. Dia tahu, Samad tidak pernah membuat kerja sekolah.  Petang kelmarin dia sendiri nampak Samad bermain layang-layang di depan rumahnya.

“Err..cikgu, semalam saya tertidur, tak sempat nak buat,” tergagap-gagap Samad memberi alasannya.  ‘Ya Allah… janganlah cikgu denda aku…’ Samad berdoa di dalam hati memohon agar cikgu Hamidah tidak mendendanya.

“Apa yang kamu buat dirumah? tidur saja kah?” herdik cikgu Hamidah.  “Petang semalam, cikgu nampak kamu main layang-layang. Oooo main kamu boleh buat! Kerja sekolah tak boleh ya?” sambungnya lagi sambil membelek-belek buku milik Samad.

Samad hanya mampu mendiamkan diri.  Hatinya kecut apabila dimarahi.  Herdikan cikgu Hamidah boleh membuat jantungnya berdegup kencang bagaikan mahu gugur.  Dia sungguh tidak berani untuk bertentang mata dengan cikgu tua itu.  Itu bukanlah pertama kali dia dimarahi.  Malahan sudah berbakul-bakul.  Namun dia masih tidak mampu berbuat apa.  Dia terpaksa menerimanya.

‘Bila aku main layang-layang? Hmm… kenapalah garang sangat cikgu ni? Ini mesti dia nak denda aku.  Mesti ni… mesti ni…’ kata Samad kepada dirinya.

“Nah ambil buku kamu ni! Buat latihan yang saya bagi di atas padang sana sambil berdiri!” bentak Cikgu Hamidah keras lalu menghempas buku latihan di meja Samad sambil tangan kirinya menunjuk ke arah luar tingkap.

Itulah denda buat Samad yang tidak menyiapkan kerja sekolah.  Cikgu Hamidah memang tegas terhadap murid-murid yang tidak mengikut arahannya.  Sesiapa saja yang degil dan enggan mengikut arahannya akan mendapat denda.  Ada kalanya, Cikgu Hamidah terasa serik untuk menghukum anak-anak muridnya.

Tersentak Samad apabila buku latihan dihempas ke atas mejanya.  Tidak mampu untuknya mendongak memandang wajah cikgu Hamidah yang garang itu.  Perlahan-lahan dia mencapai buku dan mengeluarkan kotak pensil lalu melangkah gontai menuju ke pintu.  Tidak sanggup dia memandang wajah cikgu yang bengis tidak berkelip-kelip mata memerhati langkahnya itu.

Samad akur dan terus ke padang.  Di hatinya timbul kesal kerana tidak membuat kerja sekolah.  Kalaulah dia punyai masa untuk membuat kerja sekolahnya, pasti dia akan buat.  Samad ingin belajar.  Dia ingin menjadi seorang yang berjaya.  Tapi, dia juga perlu membantu ayahnya serta menjaga adik-adik.  Tibanya malam, tentunya dia sudah kepenatan dan tidak mampu menyiapkan kerja sekolah.

Di hari yang lain.

“Murid-murid hari ini saya nak lihat kerja sekolah yang saya beri…  haa… Samad kerja sekolah kamu bagaimana?” tanya cikgu Hamidah.  Dia sedia maklum akan kedegilan Samad yang tidak melaksanakan tanggungjawabnya dalam membuat kerja sekolah.

Samad mendiamkan diri lalu tunduk.

“Samad! Kamu dengar tak apa yang saya cakap ni!!” herdik cikgu Hamidah dalam nada yang keras dan serius.

Gema suara herdikan itu menyebabkan murid-murid tergamam dan kelas menjadi sunyi sepi.

“Sa sa saya tertidur cikgu…” jawab Samad tergagap kerana ketakutan.  Peluh dingin sudah berteritik di dahi.

Zapp!!!

“Aduhh !”  Samad mengaduh sambil menahan kesakitan.

Satu libasan rotan hinggap ke punggungnya membuatkan dia kesakitan.   Samad mengusap punggungnya menahan sakit yang bagaikan hendak tercabut kulit dari isi punggungnya itu.

“Apa nak jadi dengan kamu ni? Datang sekolah lambat, dalam kelas kamu tidur, sekarang kamu keluar! Berdiri di padang sana!” Cikgu Hamidah menunding jarinya ke arah padang.  Panas hatinya dengan sikap Samad yang terlalu degil itu.

Kampung Pantai Sebiru.

Fajar yang baru menyinsing, menyinarkan awal pagi yang masih dingin.  Burung-burung yang mula keluar mencari rezeki berkicau di pelepah daun kelapa yang melambai-lambai ditiup sang bayu.  Suasana di kampung  tepian pantai tenang dan selesa.  Kelihatan anak-anak kampung begitu riang berlari-lari berkaki ayam bermain sesama mereka sambil menikmati udara samudera yang nyaman itu.

Di jeti, para nelayan sudah mula melabuhkan kapal-kapal kecil mereka setelah semalaman di laut.  Mereka sibuk sekali memunggah peti-peti yang berisi hasil tangkapan malam tadi.  Ada yang sedang membetulkan pukat untuk disulam mana-mana tempat-tempat yang sudah terkoyak Para pemborong sudah setia menanti sahabat-sahabat nelayan mereka membawa hasil tangkapan, sejak awal tadi.

“Kau tak pergi sekolah hari ni Samad?” tanya ayahnya, pak Said yang baru sahaja pulang dari laut.

Samad sedang sibuk menjemur ikan kering di ampaian khas yang dibuat oleh ayahnya di hadapan rumah.

“Pergi ayah, lepas saya jemur ikan kering ni, saya terus ke sekolah,”  jawabnya.  Dia   masih menyambung kerjanya. “Oh ya… adik-adik, saya dah hantar ke rumah makcik Jamilah, lepas sekolah saya akan ambil mereka,” sambungnya lagi.

 

Walaupun baru berusia 12 tahun, Samad punyai tanggungjawab yang besar.  Semenjak ibunya meninggal dunia akibat penyakit kanser payudara pada tahun lalu, dialah yang menjaga adik-adiknya seramai tiga orang itu.  Keperitan hidup, mengajarnya untuk berdikari.  Dia tidak seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya, hidup senang tanpa perlu memikirkan kesusahan dan keperitan hidup.

“Kamu lambat datang lagi?” tanya Majid, sahabat baik Samad yang juga merupakan kawan sekampungnya.

“Nasib baik cikgu Hamidah tak masuk kelas lagi, kalau tidak habis kamu berdiri di tengah padang lagi,” Majid mengingatkan Samad.

“Kau bukan tak tahu, aku macam mana…” Samad menutup perbualan.

“Bangun, selamat pagi cikgu..” Kelas 6 Sentosa bergema di pagi itu.

“Murid-murid, pihak sekolah akan mengadakan sambutan hari guru, pada bulan hadapan, saya mahukan wakil dari kelas ini untuk membuat persembahan nanti, kamu ada cadangkan sesiapa?” tanya cikgu Hamidah pada anak-anak muridnya.

“Majid, cikgu,” Sofi mencadangkan.

“Dia pandai menyanyi, hari-hari saya lihat dia menyanyi, kalau cikgu tiada dalam kelas mesti dia menyanyi, macam Akademi Fantasia pulak kelas kita ni,” gurau Sofi.

Sofi merupakan ketua kelas 6 Sentosa berseloroh membuatkan satu kelas tergelak. Muka Majid berubah merah kerana malu.

“Kalau macam tu, kamu lah yang akan buat persembahan ya…” cadang cikgu Hamidah .

Majid hanya tersenyum tanpa sebarang bantahan.

“Baiklah kelas, sekarang ni saya nak lihat kerja sekolah yang saya berikan semalam.”

Seperti biasa cikgu Hamidah pasti akan mencari Samad, di hujung kelas Samad tertidur, kepenatan agaknya.

“Samad!!” jerit cikgu Hamidah dalam nada suara yang paling tinggi.

Guru-guru di kelas lain, sudah kenal benar akan suara itu.  Kalau tidak kerana dia memakai tudung, sudah pasti kelihatan urat lehernya yang tegang ketika menjerit memanggil Samad tadi. Wajah yang tadinya ada sedikit senyuman tiba-tiba bertukar menjadi bengis. Cikgu Hamidah sudah naik angin.

Samad terkejut dan terus terbangun.

Pang!!

Agak kuat juga tamparan yang cikgu Hamidah berikan kepada Samad.

“Kenapa kamu ni teruk sangat? Saya menyesal dapat anak murid macam kamu! Kurang ajar dan tidak tahu menghormati guru! Saya nak kamu keluar dari kelas saya sekarang dan saya tak nak lihat muka kamu lagi!!” bentak cikgu Hamidah.

Dia benar-benar marah. Cikgu Hamidah memang tegas dan garang orangnya.

“Majid, aku memang budak tak berguna,” Samad memulakan perbualan memecah ketenangan bunyi ombak di Pantai Sebiru.

“Kau jangan cakap macam tu Samad, cikgu mungkin tak faham bagaimana keadaan kau, sekarang ini, hanya aku sahaja yang tahu kau bagaimana,” Majid cuba mententeramkan keadaan.

Samad menangis, dihatinya timbul rasa hiba dan sayu mengenang dirinya yang sering dirundung malang.  Masing-masing senyap sambil melihat kumpulan ombak yang tidak henti-henti memukul sang Pantai Sebiru.

Sudah hampir seminggu Samad tidak menghadirkan diri ke sekolah.  Cikgu-cikgu yang lain tertanya-tanya ke mana perginya Samad?  Namun bagi cikgu Hamidah, dia seolah-olah tidak mengambil peduli tentang ketiadaan Samad di dalam kelas.

“Puan hamidah, kamu guru kelas 6 Sentosa kan? Tahu ke mana perginya pelajar bernama Samad? Sudah hampir semiggu dia tidak hadir ke kelas saya,” tanya cikgu Radzi kepada cikgu Hamidah.

“Budak tu memang pemalas, selalu saja datang lewat dan tidur di dalam kelas,” rungut cikgu Hamidah.  Marahnya mungkin masih belum reda.

Suasana di dalam kelas agak bising kerana kelas masih belum bermula. Di hujung tempat duduk Majid, berlaku sebuah perbincangan di antara Majid, Sofi dan Ah Leong.  Perbincangan mereka nampak serius seolah-olah membincangkan sesuatu yang penting.

“Majid, kau tahu tak kemana perginya si Samad?” soal si Sofi dalam kerisauan.

“Aku pun dah seminggu tak nampak dia, rumahnya juga macam tiada orang, selalu bila waktu petang dia rajin ke tepi pantai dekat rumah aku untuk mengambil angin, tapi sejak seminggu ni tak ada pula aku nampak,” balas Majid.

“Tapi semalam dia datang kedai ayah saya, beli peralatan nelayan, ayahnya suruh barangkali. Tapi aku tak sempat bersembang dengannya.” beritahu si Ah leong.

“Hairan juga ya…” Majid mencelah.

Mereka berpandangan sesama sendiri, di wajah mereka tampak risau dan kehairanan.

“Majid,  lusa ni dah sambutan hari guru, kamu dah bersedia nak buat persembahan tu ke?” tanya Sofi mengubah topik perbualan.

“Insyallah, eh! Ah Leong kau pandai main gitar kan? Nanti kau mainkan untuk aku ya,” pinta Majid.

“Okey , kawan-kawan tak ada hal punya,” Ah Leong bersetuju.

“Habis tu aku nak jadi apa?” Sofi juga mahu turut serta.

“Haa… Sofi kau jadi pengurus kami lah, kau kan pengurus artis,” gurau Ah leong.

Mereka bertiga ketawa sesama sendiri.

Selepas asar, Majid mahu mengambil angin di pantai berhadapan rumahnya.  Tiba-tiba dia ternampak Samad, dengan segera dia mendapatkan Samad.

“Samad, mana kau pergi? Dah seminggu aku cari,” Majid beriya-iya menanyakan soalan pada Samad.

“Majid, aku dah berhenti sekolah,” jawab Samad.  Wajahnya tampak tenang tetapi riaknya sedih.

“Kenapa ?” Majid bertanya.  Dia semakin hairan.

“Ayahku, dia tidak mampu lagi nak menanggung perbelanjaan persekolahan aku dan aku memutuskan untuk mengikut ayah ke laut,” jawab Samad dalam nada sedih.

Majid hanya diam.  Dia sedih mendengar penjelasan sahabatnya itu dan amat bersimpati.

“Memang aku nak jumpa dengan kau Majid, aku tahu esok kan hari guru, aku nak kau berikan surat ini untuk cikgu Hamidah.  Aku tak ada hadiah nak diberikan kepadanya,” Samad mengeluarkan sehelai kertas lusuh dari dalam kocek seluarnya.

“Apa ni Samad?” tanya Majid.

“Sekadar luahan hati aku pada cikgu Hamidah.  Aku tuliskan sajak untuknya,” balas Samad tenang dan berterus-terang.

Majid memeluk Samad,  kali ini dia benar-benar sedih dengan keluhuran hati Samad.  Mereka menangis. Pantai Sebiru menjadi saksi.

Hari persembahan untuk sambutan hari guru sudah tiba. Majid akan membuat persembahan.

“Kau dah bersedia?” tanya Ah Leong dan Sofi.

“Hari ni aku tak menyanyi, aku bersajak.  Tapi Ah Leong, kau main gitar juga ya untuk aku,” balas Majid.

“Kenapa tukar plan?” Sofi kehairanan.

Majid menunjukkan kertas lusuh yang diberikan Samad padanya.

“Hadiah untuk cikgu Hamidah daripada samad,” Majid tersenyum senyum.  Namun senyumannya nampak duka.  “Samad dah tak sekolah lagi, dia ke laut dengan bapanya,” sambungnya lagi dalam nada pilu.

Suasana menjadi sepi. Masing diam tidak bersuara.

“Baiklah, mari kita bersiap,” Majid menutup suasana itu .

Persembahan tinggal lagi setengah jam.

Di atas pentas.

“Assalamualaikum, saya Majid dan di sebelah saya Ah Leong, hari ini kami akan menyampaikan sebuah sajak yang bertajuk, “Samudera Buat Guru”, sajak ini di tulis khas oleh sahabat kami yang bernama Samad.”  Majid memulakan bicaranya.

“Sajak ini ditujukan untuk guru-guru Sekolah Kebangsaan Seroja, terutamanya kepada cikgu Hamidah…” Ah Leong menambah.

Seluruh dewan memberikan tepukan gemuruh.  Timbul pula rasa hairan pada cikgu Hamidah.

‘Sajak untuk aku?’ ujar cikgu Hamidah lirih kemudian duduk diam dan juga ingin tahu.

Ah Leong mula memetik gitarnya dengan perlahan, sayu rentaknya.

 

“Sajak ini kutujukan buat guru-guruku yang tersayang, ampunan maaf juga buat kalian kerana saya pelajar yang malas dan tidak menghormati kalian. Kalian juga tidak perlu risau lagi dengan anak muridmu yang tidak berguna ini , saya hanya akan ke laut sahaja selepas ini, namun saya juga teringin seperti anak-anak murid yang memberi hadiah buat guru yang disayangi sempena hari yang berbahagia ini, tidak mampu saya berikan hadiah yang mahal-mahal, cumanya sebuah sajak …khas untuk guru-guruku terutamanya cikgu Hamidah”

Majid membaca isi surat tersebut.  Kemudian meneruskan bacaan sajak.

SAMUDERA BUAT GURU

Pantai hari ini nampak tenang
Tiada gelora, tiada ombak yang garang
Melihat laut yang jauh itu
Umpama melihat ibu yang tersayang

Pada pantai aku melepas rindu
Pada pantai juga aku menangis
Pada ombak ku kirimkan cinta
Pada dunia lautan itu

Guruku ,
Sayangnya aku pada kamu
Umpama lautan yang luas itu
Jasamu umpama samudera
Memberi sebuah kisah cinta pada manusia

Guruku,
Aku anak laut
Laut dan pantai duniaku
Ia juga masa depanku
Ia warna dalam hidupku.

Guruku,
Kasihmu ku anggap ombak
Ombak tenang di bibir pantai
Jasamu juga ku anggap ombak
Ombak yang garang dan banyak memukul pantai

Guruku,
Budimu ku anggap air di laut
Tak pernah kering dan mati
Walau kita nampak jauh
Namun kita dekat pada hati

Guruku,
Jika dosa telah aku lakukan
Restu dan maafmu aku dambakan
Jika hatimu luka
Selautan ampun ku pohonkan

Hari ini dan esok
Aku akan terus melihat samudera luas ini
Dan sampai bila-bila
Samudera ini hadiahku buat guru-guru…

Ada air mata jernih mengalir di pipi para hadirin yang mendengar, Majid teresak-esak mengungkap bait-bait sajak. Ah leong semakin sedih rentak gitarnya. Cikgu Hamidah tidak dapat menahan sebaknya.  Air matanya bercucuran deras membasahi pipi.  Terlalu deras.   Dia teringatkan Samad. Anak muridnya.

Hatinya Terusik, sesuatu perlu diubah dan berubah.

Leave a Reply