CERPEN : MENANTI NAFAS CINTA

Oleh : Mohd Lutfi Hafifi Bin Japili

“23…23…. Muhammad Ramadhan!” kedengaran suara garau yang dimiliki oleh Dr. Muhammad Ridha memanggil.

Kebiasaannya pelajar akan diberi nombor kehadiran oleh para pensyarah untuk diambil kedatangan mereka, ini memudahkan para pensyarah untuk mencatit kehadiran dengan cepat.

“Ya saya…maaf doktor,”  Muhammad Ramadhan terkejut apabila namanya dipanggil.  Dia menjawab dalam kelam kabut.

“Apa yang kamu fikirkan tu? Ingatkan katil di rumah kah?” ujar Dr. Muhammad Ridha sambil bergurau mengusik pelajarnya yang asyik termenung itu.

Satu kelas tertawa.  Tidak seperti hari biasa, doktor pada hari ini tidak mengajar sepertimana biasa. Subjek dunia Islam yang menjadi subjek elektif itu digantikan dengan pengisian rohani.  Sepanjang waktu, doktor memberi tazkirah mengenai bulan Ramadhan.  Mungkin kehangatan bulan mulia ini sudah mula dirasai. Pengajaran, kemuliaan dan hikmah bulan Ramadhan diceritakan dengan penuh semangat agar pelajarnya dapat mengambil iktibar dan persediaan sebelum menempuh bulan suci ini.

“Muhammad Ramadhan, kamu sudah bersedia ke belum untuk bulan Ramadhan ini?” tanya Dr. Muhammad Ridha.  Mungkin pertanyaan doktor itu sengaja diberikan pada dia, kerana namanya barangkali.

“Insyallah.” Balasnya.  “Emm… doktor boleh saya tanya sesuatu?” serius nadanya. Pelajar lain mula menumpukan perhatian pada beliau. “Apa pandangan doktor tentang suasana Ramadhan di Palestin? Ketika saudara-saudara kita menggadai nyawa di sana dalam suasana  Ramadhan yang tidak pernah aman hampir 50 tahun.  Kita di sini bakal berpuasa dengan selesa dan aman. Bukankah bulan suci ini kita digalak membantu mereka yang dalam kesusahan?” tegas soalannya bak orangnya juga.

“Apa yang kamu cakapkan ini? Kamu tak pernah bersyukur duduk di sini menikmati keamanan?” sampuk Ahmad Ali yang memilik wajah garang.  Dia berasal dari Jordan. Jiwa nasionalisnya cukup kuat.

Abdullah yang duduk di sebelah mencubit peha kiri Muhammad Ramadhan dan tangkas berbisik , Kau nak mati ke tanya soalan macam itu?” ujarnya sebagai amaran.

Kelas tiba-tiba menjadi riuh.  Ada yang memprotes sesama sendiri soalan tadi.  Ada yang hanya duduk diam sekadar menjadi pemerhati.

“Diam semua…!” Dr. Muhammad Ridha mengarahkan anak-anak muridnya supaya senyap. Suaranya tadi sedikit meninggi. Kaedah terbaik seorang pengajar menghentikan kekecoha di dalam kuliah. “Saya harap kamu semua bertenang dan berbaik sangka atas soalan beliau tadi, mungkin maksudnya tentang bagaimana membantu orang di dalam kesusahan di bulan Ramadhan, betul tidak?” tajam mata Dr. Muhammad Ridha memandang ke anak mata Muhammad Ramadhan.

Ada sesuatu yang tersirat lahir di anak mata Dr.Muhammad Ridha yang memiliki wajah bersih dan mempunyai sedikit janggut di bawah dagu itu.

“Emm.. itulah maksud dia yang sebenar, doktor.  Tiada yang lain.” Abdullah menyampuk mengiakan kata-kata doktor tadi.

Dia hanya mahu membantu sahabatnya yang seorang ini.  Muhammad Ramadhan hanya diam.  Tepat jam 12.30 tengahari, ini tandanya kelas sudah tamat.

“Baiklah kelas, kita kesuntukan masa , jika ada ruang kita akan sambung esok,” Dr. Muhammad Ridha berdiri dan terus melangkah berjalan ke kerusi Muhamad Ramadhan. “Kamu ke bilik saya petang nanti…”  bisik Dr. Muhammad Ridha dan kemudian meninggalkan kelas.

Abdullah mengajak Muhammad Ramadhan untuk terus keluar dan beredar dari kelas , bimbang Ahmad Ali si  “wira Nasionalis” itu membuat onar.

“Kau ni, semangat pun biarlah bertempat, kita bukan di tanah air kita…” nasihat Abdullah.

“Mereka takkan faham dan mereka memang tak akan faham, Wira nasionalis konon!” bentak Muhammad Ramadhan sambil menghayun kaki kanannya lalu menyepak batu kerikil tanda tidak berpuas hati dengan keadaan tadi. Terpelanting batu kerikil itu terus masuk ke longkang.

Jelas terpancar kekecewaan di wajah Muhammad Ramadhan tentang perkara ini. Masakan tidak!  Sepatutnya bangsa Arab Islam lebih mengerti dan lebih faham tentang perjuangan mempertahankan bangsa seagama mereka yang berkorban di bumi Isra’ itu.  Ini tidak!  Bukan hendak dibela, malahan dicerca lagi! Muhammad Ramadhan merengus di dalam hatinya. Penyakit hati apakah yang sudah menutup pintu hati kemanusiaan mereka ini? , Terlena dengan buaian syair bangsa hingga lupa teriak tangis manusia yang tidak berdosa , bangsa seagama mereka. Sambungnya lagi bermonolog pada dirinya.

PERJUANGAN YANG TIADA NOKTAH

“Saya faham perasaan kamu , saya juga tahu penderitaan bangsa kamu… emm… bangsa kita,” lembut suara Dr. Muhammad Ridha meluahkan kata-katanya.  Barangkali mahu menenangkan perasaan anak muridnya yang seorang ini.

“Inilah yang membuatkan saya menjadi pendidik di sini, jika mata-mata mereka sudah ditutup dengan perjuangan ini, sudah menjadi tangunggjawab saya untuk membuka mata-mata mereka untuk menyedari isu ini, kalau pun bukan dari  kaca mata bangsa dan agama, kita perjuangkan melalui kesedaran kemanusiaan.”  Nampak tenang suara  beliau, namun wujud ketegasan di wajah beliau.

“Tapi doktor saya kecewa dengan mereka… saya mahu perjuangan ini diperjuangkan..!!” Muhammad Ramadhan melahirkan kekecewaan yang teramat sangat, merah mata beliau.

“Ramadhan… perjuangan ini tidak akan berakhir hingga hari qiamat, kamu sudah lupa Janji Allah dan Rasul-Nya mengenai tanah lahir kamu?  Jika kamu hatta saya sekalipun terlalu emosi untuk memperjuangkan isu ini, sampai bila kita akan berbalah sesama kita? Kesedaran dan hikmah perlu kamu teliti,” sedikit tegas suara pensyarah di awal 50an ini cuba memahamkan anak muridnya yang masih muda ini.  Beliau faham, pelajarnya yang seorang ini punya semangat yang tidak pernah luntur.

“Sss… saya cuma teringat keluarga saya…” air mata Muhammad Ramdhan sudah menitik dari belahan merah matanya.  “Saya teringat pada mereka, sampai sekarang saya masih rindu pada mereka, rejim Yahudi memang bukan manusia, pembunuh!!” sedih, kali ini air matanya cukup deras, dia tidak mampu menahan kepiluan hati.

Dr.Muhammad Ridha, berdiri lalu pergi ke kerusi pelajarnya itu lantas memeluk dan menenangkan hati anak muda yang terluka itu .  “Kamu jangan menangis lagi, kamu ada saya yang sentiasa bersama-sama kamu, kamu ada ribuan hatta jutaan manusia yang akan sama-sama memperjuangkan bumi barakah kita.”  Pertemuan petang itu memberi satu kekuatan buat Muhammad Ramadhan dan juga menjadi satu azimat perjuangan buat Dr.Muhammad Ridha untuk terus berbakti pada perjuangan luhur ini.

Darah jihad  ini tetap akan mengalir, seperti lajunya titisan darah pejuang-pejuang syahid di medan sana.

 

NAFAS INI SEBAGAI JANJI

15 tahun lalu….Ramadhan 1414

Ketenangan dan suasana awal Ramadhan di perkampungan Uzair pada pagi itu sungguh aman dan nyaman. Anak-anak kecil berlari-lari gembira, deretan anak-anak muda di tepi-tepi jalan utama menuju ke sekolah agak ramai, kumpulan ibu bapa menunaikan tanggungjawab mereka menuju ke tempat kerja, ada yang menjadi guru, ada yang bercucuk tanam , ada yang mengembala kambing biri-biri.

Namun siapa tahu, hari itu juga menjadi titik hitam buat diri Muhammad Ramadhan. Keamanan yang terhad bagi bulan suci ini untuk dinikmati penduduk kampung dikotori lagi dengan bedilan-bedilan kejam pembunuh tanpa kemanusiaan ini.

Kerap kali anak kecil ini mendengar bunyi bedilan dan beliau tidak pernah gentar dengan bunyi itu, kehidupannya jauh berbeza dengan anak-anak yang sebaya umur dengannya di tempat lain. Bilamana mendengar bunyi yang “mengerikan” itu, mereka sekeluarga  akan berdiam diri di dalam rumah. Kematian sanak saudara dan kawan-kawan seperti kisah biasa dalam kehidupan mereka.

Anak kecil itu yang hanya melihat kelibat ayahnya dan abang sulungnya berlari menyelamatkan diri di luar rumah tidak mampu berbuat apa-apa melainkan menangis sahaja, pagi itu hanya anak kecil itu dan ibunya berada di rumah.

Pamm!! Pamm!!

Tembakan itu tepat terkena kepala ayah dan abangnya, kedua-duanya rebah Syahid di hadapan rumah usang itu, kedua-dua mata anak ini menjadi saksi pembunuhan kejam yang dilakukan ke atas ayah dan abang kesayangannya, teriakan anak kecil ini makin kuat, si ibu kelam kabut mendapatkan si suami dan anaknya yang bergelimpangan berlumuran darah itu dan anak kecil itu dibiarkan di dalam supaya tidak keluar.

Tatkala sang ibu meratap dan cuba meminta pertolongan untuk  suami dan anaknya, satu tembakan dari penembak tepat Yahudi laknat ini, tepat mengenai belakang wanita tua itu , Ummu Ahmad rebah dipangkuan suaminya , ketiga-tiga ini sedang menuju menanti syahid yang agung!

Anak kecil itu tidak mampu menahan dan melihat perkara ini, dia berlari mendapatkan keluarganya yang terbaring menanti syahid.  Deras air mata anak ini.

“Ibu…ibu…. Jangan tinggalkan saya!!” teriak anak kecil yang belum mampu megerti apa-apa tentang pembunuhan yang tragis ini.

“shhh…jangan nangis anak ku… ibu pergi sekejap saja… kita akan berjumpa nanti.. ibu.. ayah… abang… sayang kamu… Allah….Allah…” si ibu ini mengusap kepala anaknya itu.

Usapan ini tanda kasih dan sayang ibu buat anaknya.  Tanda itulah saat-saat akhir buatnya untuk menatap anak kesayangannya. Anak yang bakal ditinggalkan untuk meneruskan perjuangan kehidupannya.  Pandangannya menjadi semakin kabur dan kemudiannya si ibu terdiam.  Diam untuk selamanya, langit Syuhada’ terbuka luas untuk Syahid ini.

Anak kecil itu terus menangis, meratapi pemergian keluarga tercintanya.  Dia tidak tahu apa yang berlaku. Yang hanya dia tahu , keluarganya dan kehidupan kecilnya.

Tentera laknat zionis itu berundur dengan megahnya. Hari itu, mereka sudah melaksanakan misi mereka, meratah tubuh-tubuh umat Islam yang tidak berdosa.

Tidak lama selepas itu, anak kecil itu dibawa berhijrah ke Jordan oleh bapa saudaranya, mungkin tanah itu selamat untuk anak kecil dan sehingga ini anak kecil itu tidak pernah pulang ke tanah itu lagi.  Muhammad Ramadhan tersedar dari nostalgia lalu. Air matanya mengalir.  Rindu pada ibu, ayah dan abangnya.

Mentari senja jatuh dengan begitu indah petang itu, Ramadhan masih lagi duduk di celah batuan besar tepi bukit Iraq melihat dengan dekat sempadan dua tanah di timur tengah ini.  Agaknya dia masih leka bermain dengan perasaan dan nostalgianya senja itu, ada suatu yang cuba diwarnakan di liang khayal dan fikirannya.

Lagi 5 hari lagi bulan ramadhan akan menyapa umat Islam sedunia, pelbagai persediaan telah dilakukan di merata tempat. Namun bagi yang bernama Muhammad Ramadhan ini, ada sesuatu yang beliau simpan di semat hatinya, kedatangan Ramadhan setiap tahun pasti mengingatkan dia dengan sebuah cerita yang tidak akan dilupakan dalam dirinya.

Ramadhan, kali ini beliau bertekad.  Beliau akan pulang ke tanah itu, mencari cinta dan secebis sayang yang lama dinantikan. Rindunya untuk mencium bau-bauan syuhada’ semakin mendalam. Cinta pada tanah perjuangan ini tidak akan hilang sampai ke mati..  Dia akan terus menanti nafas cinta ini.

“Ibu..ayah…abang… Ramadhan akan pulang…….”

Leave a Reply