CERPEN : INTROSPEKSI MERDEKA SEORANG TUA BOSNIA

Oleh : Mohd Lutfi Hafifi Bin Japili

“43 darjah celcius!”

Bersilau mata kamal membaca petunjuk darjah kepanasan yang terlekat di dinding hadapan bangunan-bangunan lama yang  berada di tengah-tengah bandar lama Amman ataupun lebih dikenali Wastul Baladtengahari itu.

Wastul Balad merupakan tumpuan warga kota Amman untuk membeli barangan pasar ataupun apa sahaja barang keperluan dengan harga jauh lebih murah ditengah kemewahan bandaraya Amman yang sungguh rancak mencorak  kehidupan bagi warga kota pelbagai manusia ini. Lebih-lebih lagi disini tersimpannya hampir jutaan pelarian bumi isra’ Palestin yang dihalau dengan kejam oleh zionis laknat sejak penubuhan secara ‘rasmi’ negara haram Israel 15 Mei 1948. Itulah tragedi hitam An-nakbah!.

Sambil membelek-belek barang dapur yang sudahpun dibeli untuk berbuka puasa petang nanti. Kamal mengelap peluh didahi dan mengatur langkah kaki menuju ke masjid Hussien yang berada ditengah-tengah kesibukan pusat tumpuan warga kota itu.

“Rindunya pada keluarga, bilalah aku nak pulang ni”, Kamal mengeluh sendiri ditengah-tengah kepanasan kota itu.

Masuk Ramadhan kali ini, sudah hampir 4 tahun Kamal tidak dapat bersama-sama dengan keluarga untuk menyambutnya, berhari raya apatah lagi. Dalam 4 tahun Kamal disini jugalah dia tidak pernah pulang ke kampung halaman. Hidup yang hanya cukup-cukup makan diperantauan orang ini mengajar Kamal untuk lebih memahami erti sabar dan rindu.

Kamal melihat jam yang terpampang di pintu masjid, hampir 1 jam lagi akan masuk waktu zohor  bagi kawasan Amman. Kamal melangkah perlahan menuju ke pintu masjid lalu menyusun sepatunya dengan kemas di rak-rak kayu usang masjid itu. Selesai berwuduk, dia mencari tiang-tiang di ruang masjid untuk bersandar dan berehat sementara azan masih belum berkumandang.

Selang beberapa tiang dari tempat kamal berehat, seorang pakcik tua yang berjubah putih lusuh dan berjanggut putih melemparkan senyuman kepada Kamal. Tangannya menunjukkan isyarat memanggil kamal, barangkali mahu berbicara dengan anak muda bukan bangsa Arab ini. Kamal bingkas bangun menemui dan bersalaman dengan pakcik tua itu.

“Anak orang Malaysia? Nama apa?”, Soal pakcik itu dalam bahasa Arab yang agak fasih bunyinya.

“Ya pakcik, saya Ahmad Kamal, pelajar univesiti sekitar sini,”, jawab Kamal dengan nada yang bersahaja.

“Kamu belajar dalam bidang apa? Pengajian Islam? Tahun yang keberapa?”, soal pakcik tua itu. Mahu tahu lebih lanjut gerangan anak muda Melayu ini. Berdasarkan raut wajah dan pertuturan lelaki tua itu, kamal menjangkakan yang lelaki tua itu bukanlah orang tempatan sekitar Amman. Orang  Russia barangkali.

“Bidang bahasa Arab dan sastera, Insyallah saya kini berada ditahun akhir pengajian saya, ermm..pakcik dari mana?”,  Usai menjawab Kamal pula menyoal pakcik tersebut. Mahu berkenalan dengan lanjut.

“Alhamdulillah, pakcik berasal dari Bosnia tapi sudah hampir 16 tahun menetap di sini. Sekarang pakcik mengajar  di sebuah sekolah untuk anak-anak pelarian Palestin disini. Nama pakcik Muharem Mojvic, pakcik sangat suka dengan Malaysia, teringin pakcik untuk ke sana” , Pakcik tua itu memperkenalkan dirinya sambil memuji-muji negara Malaysia. Kamal hanya tersenyum mendengar.

“Pakcik lihat kamal nampak penat sekali sebab itulah pakcik panggil kamu untuk bersembang, kita berpuasa tidak boleh rasa penat dan sepatutnya kita harus lebih bertenaga dari bulan-bulan yang lain, Ramadhan itu kurniaan tuhan yang esa untuk kita. Diawalnya perjuangan dan diakhirnya sebuah kemenangan”, Pakcik Muharem memberikan nasihat buat Kamal. Bila melihat pakcik Muharem walaupun berumur namun dia nampak  lebih bertenaga dari warga yang seumur dengannya. Timbul pula rasa segan dalam diri Kamal pada kelibat pakcik tua itu.

“Terima kasih pakcik atas nasihatnya, akan saya ikuti nasihat pakcik itu”, Kamal menjawab dengan sedikit perasaan malu.

“Tidak mengapa anakku, semoga kepenatan itu menjadi latihan buat kamu agar lebih faham tentang makna sebuah Ramadhan. Pakcik ingin menceritakan sebuah cerita tentang makna bebas dan kehidupan dalam hidup pakcik, kamu mahu dengar?” , Pelawa pakcik itu. Kamal mengangguk bersetuju.

“Kisah ini berlaku di Bosnia 16 tahun dahulu, ada seorang lelaki yang sudah putus asa dengan kehidupannya. Baginya hidup ini tidak lagi bermakna. Dia kehilangan hampir semua apa yang ada dalam hidupnya. Semua ahli keluarga termasuk isteri dan anak-anaknya. Semua pergi didepan mata, tiada satu pun yang tinggal. Kerakusan tentera Serbia meratah manusia yang tidak berdosa menjadikan lelaki itu hampir  tidak percaya kepada sebuah kehidupan. Itu dahsyatnya sebuah peperangan”, Lakaran raut pada wajah pakcik itu bertukar suram ketika bercerita. Kamal hanya terpaku dan terus mendengar.

“Lelaki itu hanya nampak sebuah kematian di depan matanya. Jika tidak dibunuh biarlah dia yang membunuh diri, hidup tiada maknanya lagi!. Namun Alllah tidak pernah menyusahkan hamba-Nya dengan ujian yang tidak mampu diterima oleh hamba-Nya. Dengan kuasa Allah, lelaki itu lekas sedar dari kebuntuan hidup yang membinasakan. Bersama-sama teman yang lain, dia menjadi pelarian ke sebuah tempat yang menjanjikan kebebasan namun tidak menjanjikan kebahagiaan. Jordan. Lelaki itu adalah pakcik” Kali ini pakcik Muharem terdiam seketika, sesekali terdengar dia mengucapkan lafaz syukur pada Allah.

“Apa yang terjadi selepas itu pakcik?”, Kamal terkejut dan dia  ingin pakcik itu meneruskan ceritanya.

“Di bumi Jordan inilah pakcik belajar erti sebuah kehidupan dan syukur. Tidak lama pakcik di Jordan dengan bantuan badan sukarela  yang menguruskan pelarian perang, pakcik menjadi tenaga pengajar bagi sekolah di kem-kem pelarian yang terdapat di sini. Tahun demi tahun pakcik belajar menerima kenyataan dalam hidup ini. Rupanya anak-anak Palestin yang kehilangan keluarga mereka dalam siri kekejaman Israel itu lebih tabah untuk menerima kenyataan. Mereka di Palestin tidak pernah kenal erti Merdeka!!”. Begitu dalam pakcik itu melihat anak mata Kamal.Ada kisah disebalik Sebuah cerita yang mahu dikongsikan dengan anak ini.

“Aku cukup mengenali negaramu sebagai sebuah bahtera penyelamat kepada negaraku ketika kami dibantai teruk dengan seksa dan penderitaan sebuah peperangan. Nama Malaysia begitu tersemat dihati kami warga Bosnia, Dr.Mahathir Mohammad amat kami kagumi . Kau harus bersyukur menjadi seorang rakyat Malaysia  anakku. Kebebasanmu haruslah kau hargai dengan penuh kesyukuran pada Allah. Kalau aku tidak salah, tarikh Kemerdekaan negaramu akan berlangsung 31 Ogos ini kan?”, Kamal mengiakan apa yang diperkatakan oleh pakcik Muharem. Begitu banyak pengetahuan pakcik Muharem  tentang Malaysia. Betapa hati kamal tersentuh dengan semangat yang lahir dari seorang warga tua ini.

“Anakku, kali ini peringatan kemerdekaan negaramu tiba dibulan yang mulia dan mubarak. Harus kau ambik iktibar dan pengajaran bulan Ramadhan dengan maksud sebuah kemerdekaan. Contohi teladan manusia yang memberi bakti dan memperjuangkan kemerdekaan rakyat Malaysia satu ketika dahulu. Jadilah generasi yang bangkit memperelok dan memuliakan agama dan negara. Jangan takut dan segan dalam perjuangan, kerana ia azimat keramat yang bakal membela sebuah kemerdekaan!” , Tiang-tiang masjid menjadi saksi sebuah peringatan penuh hikmah oleh pakcik tua itu kepada anak muda ini tengahari itu.

“Allahuakbar…Allahuakbar….”, Azan yang dikumandangkan oleh bilal dengan nyaringnya menandakan masuk waktu zohor memecahkan perbualan dua orang warga dunia ini berlainan bangsa satu akidah ini.

Mereka bersalaman dan berpelukan sebelum masing-masing bersiap sedia untuk menghadap Allah S.W.T menuntut fardhu yang diamanahkan kepada setiap hamba-Nya.

Kamal melangkah semangat menuju saf-saf yang berbaris dihadapan. Dia tahu, hatinya perlu tekad dan berubah menjadi kuat seperti mana rapatnya barisan saf-saf manusia yang mahu berhadapan dengan pencipta mereka. Dia sedar yang langkah kakinya perlu terus kehadapan memberikan bakti pada agama, nusa, negara dan bangsa.

Tekadnya dia mahu menjalani episod baru sebuah perjuangan yang tidak akan terhenti.

Mengejar sebuah kemerdekaan dunia dan ukhrawi.

Leave a Reply