CERPEN : ANGIN SELAT UNTUK BONDA

Oleh : Mohd Lutfi Hafifi Bin Japili

Sapaan angin selat Bhosporus petang itu sungguh menusuk perasaan, kelibat pemancing yang bertenggek di benteng tepian selat yang menghubungkan laut Marmara dan laut Hitam itu tidak begitu ramai hari ini, tidak seriuh hujung minggu. Keindahan jambatan Sultan Mohammed Al-fateh nyata begitu membanggakan penduduknya. Sebuah negara  yang pernah bertapaknya empayar Khilafah Islam satu ketika dulu.

Hampir satu jam Aidil terpacak di tepi benteng melihat keindahan selat ini, tidak terasa kepenatan menunggu dek khusyuk mengamati pemandangan yang cukup memukau pada keindahan selat itu. Angin yang melalui diantara pertembungan dua buah laut itu mampu mengubat sakit kata orang-orang sekeliling. Di sepanjang persisiran selat itu banyak gerai-gerai yang dibuka untuk para pelawat yang tiba. Bauan ikan yang dipanggang untuk dijadikan burger sungguh membangkitkan rasa selera dan itu menjadikan keunikan kawasan yang menjadi tumpuan pelancong di Istanbul ini.

Sudah hampir sembilan tahun Aidil aidil tidak pulang ke tanah air dan dalam tempoh itu jugalah dia membawa diri mencari jiwanya yang hilang. Mengubat jiwanya yang penuh persoalan dan ribut resah.

“Jauh termenung sahabat, sampai kau tak sedar aku kat sebelah kau ni”, sapa Ahmet Saifuddin, fasih pertuturan bahasa Melayu pemuda Istanbul lulusan pengajian perundangan, Universiti Istanbul ini. Dia pernah tinggal di Malaysia beberapa tahun ketika mengikuti bapa saudaranya yang bekerja di sana.

“Ahmet, tak sedar pula aku kau dah ada, sejak bila?”, sedikit terkejut, Aidil bangkit dan bersalaman dengan Ahmet.

“Kau yang tak sedar, ingatkan orang di Malaysia ke?”, soal Ahmet. Aidil hanya tersenyum hambar.

“Entahlah, aku rasa rindu pula dengan suasana tanah lahirku”, Aidil memulakan cerita rasa hatinya pada Ahmet, satu-satunya sahabat baiknya sejak mereka sama-sama menuntut di Universiti Istanbul  tika Aidil mula-mula datang ke Turki. Kini Aidil sudahpun menetap dan bekerja di Istanbul.

“Rajuk kau  masih bertapa di hati? Sampai bila Aidil?”, Ahmet cuba menyoal Aidil serungkai persoalan yang tidak pernah dia ungkapkan.

“Aku masih belum boleh menerima kenyataan Ahmet. Jiwaku masih belum hilang peritnya”, kali ini Aidil seolah-olah berat untuk menyuarakan isi hatinya.

“Kau tak perlu begini Aidil, kau tak boleh selamanya begini. Mereka masih menyayangi kau. Mereka tak pernah menganggap kau seorang yang asing. Kau harus bersyukur punya mereka” , Ahmet memujuk Aidil agar dia cuba memahami isi hatinya dengan benar-benar matang.Sedikit sebanyak Ahmet juga mengetahui kisah hidup Aidil dan mengapa dia membawa dirinya jauh hingga negara pertembungan dua benua itu.

“Kau tak Faham, Aku tahu semua itu. Tapi aku tak boleh terima hakikat….” Aidil menjuih bibirnya. Ahmet hanya terdiam melihat Aidil.Ekspresi wajah Aidil seakan-akan mahu memberitahu sesuatu.

“Aku anak pungut , anak kutip!!, aku tak boleh maafkan ibu yang membuangku!”,  Luahan rasanya dilimpah bagaikan air yang deras. Kelopak matanya melahirkan air yang bertakung.

Aidil pergi dan membawa dirinya ke Turki setelah beliau mendapat tahu ketika dia mahu dijodohkan dengan pilihan keluarga angkatnya.Keluarga terpaksa memberitahu hal yang sebenar. Aidil hanyalah merupakan anak pungut yang dijumpai di atas tangga sebuah masjid dan kemudian dipelihara hingga ke dewasa. Mahu tidak mahu, Salimah, ibu angkatnya terpaksa memberitahu hal yang sebenar pada Aidil demi kebaikan mereka semua. Namun begitu, keluarga angkat Aidil cukup menyayangi beliau seperti anak sendiri dan dia tidak pernah sama sekali disisihkan.

Namun, Aidil terlalu berat hati untuk menerima kenyataan ini. Jiwanya yang kusut dibawa ke bumi tinggalan Khilafah ini. Dia mahu mengubat hatinya.

“Jangan salahkan diri Aidil, kau bukan berdosa jadi anak pungut sekalipun”, Ahmet cuba memainkan perasaan Aidil agar bertindak sabar.

“Err…Kau masih salahkan ibu kandungmu?”, serba salah soalan ini diajukan pada Aidil.

“Aku tak boleh terima semua ini Ahmet. Sampai hati seorang yang bergelar ibu membuang anaknya ini, Apalah hinanya aku ini hinggakan dibuang tanpa rasa belas kasihan umpama sampah!”, kali ini kelopak matanya pecah, sebaknya tidak terbendung lagi.

“Jangan begini Ahmet, kau harus bertenang dan jangan kau salahkan diri kau. Kau bukan hina!, Allah maha adil, dia berikan kau keluarga yang menyayangi kau dan kau ada aku yang memahami kau. Berterusan menyalahkan diri akan membuatkan kau tidak akan aman sampai bila-bila”, Ahmet memainkan peranannya sebagai seorang sahabat yang benar-benar mahukan kawannya ini sedar.

Kali ini Aidil hanya senyap. Beliau tidak mampu berkata-kata. Ahmet membiarkan dia melayan perasaan sedihnya ke selat Bhosporus. Mereka diam seketika. Masing-masing tidak bersuara hingga Aidil tidak lagi menangis dan dia tenang semula.

“Ahmet, aku benar-benar mahu mencari diriku. Aku mahu jiwaku tenang. Susah menerima kenyataan hinggakan aku lemah untuk menempuhi semua ini. Aku tahu, aku telah lukakan perasaan keluarga angkat ku. Aku malu …” rasa lemah Aidil meluahkan perasaannya yang bersalah.Matanya masih merah namun tidak menangis lagi.

Aidil benar-benar berada didalam sebuah kebuntuan yang menyelubungi dirinya. Perasaanya cukup bercampur-baur bila mengingatkan perasaannya. Rindu, bersalah, marah, sedih bagaikan digaul dan dijadikan sebuag perasaan yang cukup asing didalam dirinya.

“Kita harus kembalikan semuanya pada yang Esa Aidil, berfikiran seperti itu boleh membuatkan kau menyalahkan takdir dan apabila menyalahkan takdir kau sudah mengingkari Qada dan Qadar-Nya. Aku rasa dah tiba masanya kau pulang dan berjumpa keluargamu, mohon ampun pada mereka. Aku percaya mereka masih menyayangi kau..” Ahmet tekad untuk menguatkan hati sahabatnya agar mengembalikan semuanya pada yang Khaliq.

“Ermm..andai kau dipertemukan dengan ibumu ,kau boleh terima dia..?” , jujur kata Ahmet  pada Aidil.

“Aku masih berat untuk memikirkannya, namun aku benar-benar rindukan kasih seorang ibu…Aku masih buntu Ahmet, bersalahkah dia?” Aidil memulangkan soalan pada Ahmet.

“Ibu mana yang tidak sayangkan anak Aidil, hatta binatang sekalipun pun sayangkan anaknya. Tapi bagi aku mungkin ibu kandungmu terdesak diantara rasa bersalah dan malu pada diri sendiri. Manusia Aidil, kita tidak akan sempurna sampai bila-bila, sering saja dibuai dosa dan aku rasa jika Ibu kandungmu masih ada, pastinya dia mahu berjumpa denganmu, Kita harus memohon pada Allah” Ahmet  menyuarakan isi hatinya.

“Sesungguhnya keinsafan itu akan datang bila kita benar-benar mencarinya, doa seorang anak itu pasti dimakbulkan jika kau benar-benar meminta pada Allah..”, Aidil menambah lagi. Aidil hanya diam seribu bahasa cuba mendalami butir-butir perkataan dari Ahmet.

“Aku akan cuba Ahmet, hati ini rindukan seorang ibu yang benar-benar ibu, aku akan cuba kuatkan diri aku ini dan aku sedar bukan aku sahaja yang bernasib sebegini” Aidil menguatkan hatinya untuk cuba menerima kenyataan. Air matanya pecah lagi namun linangan kali ini penuh dengan pengertian.

“Benar Aidil , bukan kau sahaja yang bernasib sebegini.Kau harus pulang Aidil, sudah masanya kau perlu berbakti pada tanah airmu. Kesedaranmu perlu untuk anak-anak bangsamu yang semakin leka dan alpa kini. Pulanglah dan curahkan kesedaran pada mereka agar tidak terlambat mencari jalan kebahagian hidup yang sebenar”, Ahmet cuba menasihati Aidil yang dia harus punya kesedaran tentang masalah kebejatan akhlak anak bangsanya yang semakin teruk ini. Dia harus mengubah agar tiada lagi anak yang senasib dengannya.

Nasihat Ahmet telah sedikit membukan hatinya untuk berusaha mencari sesuatu. Sesungguhnya perjalanan hidup ini perlu diteruskan.

Angin selat bertiup dengan tenang senja itu dan sungguh menenangkan perasaan. Sinaran matahari jatuh dengan perlahan sekali di ufuk barat hingga mewujudkan sebuah senja yang cukup membuai hati mereka seperti lembutnya air laut selat Bhosporus yang membelai penghuninya.

Ahmet dan Aidil masih lagi memandang jauh selat Bhosporus. Masing-masing menilai perasaan mereka sendiri dan angin pada selat itu cukup memahami jiwa-jiwa yang kehilangan.

‘Di mana bonda kini? aku teringin kasihnya..’, hati Aidil mula berbicara.

Mungkinkah angin selat ini akan menghantar rindu pada bonda?

Leave a Reply