CERPEN : TRANSISI API BOUZIZI

Oleh : Mohd Lutfi Hafifi Bin Japili

17 Disember 2010

Tulis…

Aku Seorang Arab

Tulislah di rangkap yang pertama,

Aku tidak pernah membenci orang

Aku tidak akan menganggu

Tapi bila aku lapar

Aku akan makan daging si Perampas

Berhati-hati

Waspada

Dari kelaparanku dan Kemarahanku !!”

Lembaran kitab puisi yang berhabuk  itu diselak helaian demi helaian.

Bergema lagu ‘Humat al hima’  lagu kebangsaan Tunisia itu dari corong radio buruk di meja usang yang sudah lama berada di ruang tamu rumah itu. Bunyinya yang klasik memang menggentarkan hati lelaki itu, entah kenapa ada sesuatu yang mencubit jiwanya. Bait demi bait Bouzizi membaca puisi “Aku seorang Arab” hingga bait-bait yang terakhir puisi perjuangan yang amat menyentuh hati keras pemuda itu, ia terpukul dengan puisi nukilan Mahmoud Darwish, seorang sasterawan mahsyur di dunia Arab berdarah Palestin itu. Hatinya mula bergelojak bak api yang menyala, mahu saja dia membakar seluruh dunia dengan maraknya kemarahan yang terbit dari hati nalurinya yang sungguh panas itu.

Lelaki berambut kerinting dan berkulit hitam itu tahu yang dirinya merupakan salah seorang mangsa yang telah dipermainkan oleh penguasa kerajaan yang zalim dan tidak berhati perut pada setiap rakyat. Sepatutnya menjadi tanggungjawab  pemimpin negara untuk memastikan setiap kemudahan dan kenikmatan yang harus diterima oleh setiap lapisan masyarakat.

Segala pekerjaan yang dimiliki tidak mampu menjadikan masa depan Bouzizi dan warga Tunisia yang senasib dengannya terjamin dengan masa depan yang baik. Kelemahan mentadbir  ekonomi negara pimpinan Ben Ali si kuku besi  itu menjadikan negara bekas ‘sinar perancis’  ini terus bergolak dengan kemiskinan setiap masa. Pekerjaan yang baik tidak mampu disediakan untuk rakyat yang semakin hari ditimpa kesusahan hidup yang menyeksakan. Itulah puncanya masalah pengangguran dan kemiskinan tegar menjadi semakin teruk.

Di pintu rumah usang hujung bandar Sidi Bouzid, Tunisia itu Bouzizi duduk termangu memegang kitab puisi itu erat didalam dakapan. Akalnya sudah tepu dan kosong memikirkan hari-hari yang bakal mendatang. Hatinya hancur memikirkan perbuatan kerajaan yang menghinanya sebagai penjual sayur yang tidak memberikan apa-apa keuntungan. Bouzizi diludah dengan hina!.

Jauh disudut hatinya, dia mahu mengubah hidupnya dan mereka yang senasib dengannya. Ia hanya angan-angan namun Bouzizi bertekad untuk menjadikannya suatu harapan dan cita-cita. Keadaan ini harus dihentikan dan satu tapak pemula. Perjuangan harus ditanam.

Bangkit!!! .

Bouzizi mahu seluruh rakyat Tunisia bangkit dari kekalahan. Ubah kelam jadi siang, tukar tahi jadi emas. Dia tahu yang dia tidak mampu untuk bersuara di kaca-kaca televisyen apatah lagi menulis di akhbar-akhbar kepunyaan kerajaan zalim itu untuk menyuarakan kesengsaraan rakyat. Fikirannya sudah tekad dan bulat, biar dirinya jadi korban agar satu dunia tahu yang dia seorang pejuang yang bakal menyemarakkan kebangkitan.

Bouzizi berlari ke arah susuk tua ibunya yang berada di kerusi malas tinggalan warisan itu. Dia mencium lembut dahi ibu tua yang sudah berkedut itu.

“Ibu, restuilah anakanda yang lemah ini, andai ini pertemuan terakhir kita, redhakanlah anakanda….” Bouzizi berbicara dengan penuh kasih dan sayang.

Diam tidak berkata dan air mata tiba-tiba mengalir. Ummu Mahmod, ibu angkat kepada Bouzizi ini hanya mampu terdiam kerana dia tidak pasti apa yang cuba disampaikan oleh Bouzizi. Cuma dari hati kecil seorang ibu ini dia tahu sesuatu perkara bakal terjadi.

Bouzizi tidak mahu duduk lama disisi Ummu Mahmod, kerana dia tahu wajah Ummu Mahmod bisa merubah keputusannya untuk bertindak.

Dia berlari keluar dan melintasi setiap lorong-lorong yang berada disekitar rumahnya. Manusia disekelilingnya sudah tidak dihiraukan, tapak kakinya menapak dengan begitu laju, sederas mungkin. Dia tidak sedar yang Khaldun mengekorinya sejak dari rumah lagi. Khaldun hairan kerana tidak pernah Bouzizi keluar rumah dengan keadaan wajahnya yang penuh dengan kemarahan.

Bouzizi tiba dihujung pasar, dia mencari kawasan dataran di pinggir pasar yang begitu ramai manusia lalu lalang yang majoritinya golongan miskin sekitar bandar Sidi Bouzid itu. Tiba-tiba dia bingkas bersuara mengumpul manusia-manusia itu.

“ Wahai saudara-saudaraku yang aku cintai!! Kita sudah lama terperangkap di bawah pemerintahan pemimpin hina yang hanya mahukan kesenangan tanpa mempedulikan suara-suara rakyatnya. Aku sudah tiada apa-apa di tanah aku sendiri. Tanahku dirampas, hartaku dilelong. Aku tiada hidup. Adakah kalian hanya mahu menjadi hamba sampai bila-bila? Adakah kalian mahu berkedaan begini sampai generasi akan datang?” Suaranya agak besar dan garau memecah kebingitan manusia yang berada disitu.

Semua terpaku dan mendengar.

Khaldun bingkas mendapatkan Bouzizi di tengah pengumpulan manusia itu.

“Kau gila Bouzizi?? kalau polis nampak nanti habis kau !” Khaldun bertindak menenangkan keadaan. Bouzizi bingkas menolak Khaldun yang terus terduduk.

“Ya memang aku gila, aku gilakan sebuah kebebasan dan kesenangan rakyat, polis juga rakyat, aku mahu mereka mendengar suara kita sampaikan pada pemimpin kuku besi itu!” Bouzizi meninggikan suara dan marah atas tindakan Khaldun yang takutkan polis itu.

Bouzizi kembali bersuara. Orang ramai seakan tertunggu-tunggu apa yang berlaku seterusnya.

“Hari ini, biarlah aku menjadi api kebangkitan kalian untuk menentang pemimpin yang tidak adil. Aku tahu kalian sudah lama memendam perasaan ini. Aku tahu kalian juga inginkan perubahan agar tanah tumpah darah kalian menjadi makmur dan kalian boleh hidup selesa” Air mata Bouzizi mengalir.

“Bangkit saudaraku, bangkit!!!” Itulah kalimah terakhir keluar dari mulut Bouzizi.

Bouzizi membuka bungkusan yang berada disisinya. Disimbahnya minyak tanah melimpahi hampir seluruh badannya. Pemetik api dinyalakan tepat ke basahan minyak tanah yang membasahi tubuhnya. Api marak dengan cepat. Kesemua orang kelam kabut, ada yang berteriak dan menangis. Ada yang mencari-cari air. Khaldun cuba menyelamatkan kawannya itu. Namun api yang marak begitu cepat menjilat hampir seluruh badan Bouzizi.

Bouzizi sudah tiada dan kisahnya itu terus tersebar. Hari itu.

18 Disember 2010

Pagi yang keras.

Hari ini bandar Sidi Bouzid tidak seperti hari-hari sebelumnya. Subuh itu semuanya sunyi namun awal pagi itu suara gema manusia kedengaran memecah kesunyian pagi bandar itu. Tanpa mengira usia, jantina dan rata-rata golongan orang yang miskin mereka mula membunyikan semboyan kebangkitan rakyat.

Disitulah bermulanya kebangkitan manusia. Sekian lama ia terpendam, namun tiada siapa yang mahu bertindak. Manusia-manusia lorong pasar itu sudah memecahkan pemikiran mereka. Mereka mahukan kehidupan. Kehidupan yang lebih baik dan mengimpikan negara yang lebih adil dan mampu menjadikan mereka bahagia!

2011..2012…Sehingga tarikh yang tidak diketahui

Masyarakat dunia Arab mula bangkit. Kebangkitan Tunisia sudah membakar jiwa kebangkitan manusia-manusia di Yaman, Mesir, Bahrain, Jordan dan bakal menakluki seluruh dunia Arab.

Semuanya kerana Bouzizi. Si penjual sayur yang miskin. Hanya kerna Bouzizi yang punya jiwa penyerahan sebuah kebangkitan.

Transisi sudah dan sedang berlaku.

Dunia bakal bertukar wajah!.

Leave a Reply